Isu bekalan air musim raya sentiasa jadi perhatian kerajaan negeri, kata Ahmad Samsuri 


Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau percaya dengan kebolehan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd untuk menyelesaikan permasalahan tersebut secepat mungkin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mei, 2022.

ISU gangguan bekalan air yang sering berlaku di sesetengah kawasan di Terengganu terutama pada musim Hari Raya Aidilfitri, sentiasa menjadi perhatian kerajaan negeri.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata masalah bekalan air pada musim perayaan, dijangka akan dapat diredakan dalam tempoh setahun atau dua tahun ini, dan antara yang sedang dibincangkan di peringkat kerajaan negeri adalah pembinaan loji rawatan air (LRA) yang baharu, terutama di kawasan yang sering mengalami gangguan.

“Gangguan air di Terengganu ini tidak sama keadaannya (mengikut kawasan). Ada gangguan akibat air pasang yang menyebabkan loji rawatan air tidak dapat ambil air kerana air masin naik ke hilir, ada juga disebabkan paip pecah dan sebagainya.

“Memang kita jangka pada hari raya (berlaku gangguan bekalan air) kerana bilangan yang balik kampung dan pengunjung yang ramai. Saya percaya kita semua pun sedar suasana di jalan raya sepanjang seminggu tempoh beraya itu dan memang setiap tahun sebenarnya waktu puncak itu ada sedikit masalah (gangguan bekalan air),” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dataran Pejabat Daerah Marang, di Marang hari ini.

Adun Rhu Rendang itu berkata beliau juga percaya akan kebolehan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) untuk menyelesaikan permasalahan tersebut secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata permintaan penduduk untuk membina semula jambatan kayu, yang menghubungkan Kampung Pulau Sekati dan Kampung Paloh di Kuala Terengganu setelah jambatan lama musnah dibawa arus deras akibat banjir pada Februari lepas, akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu ini.

Bagaimanapun katanya perbincangan tersebut bukan hanya membabitkan pembinaan jambatan baharu, tetapi akan turut mempertimbangkan mekanisme yang terbaik bagi memudahkan penduduk di kedua-dua kampung tersebut.

“Perbincangan ini adalah untuk kita tengok pilihan yang terbaik. Saya tidak kata bina jambatan baharu tetapi kita tengok pilihan terbaik, yang paling segera dan ekonomikal,” katanya.

Untuk rekod, jambatan kayu tersebut dibina pada 1992 dan menjadi nadi perhubungan penting untuk penduduk sebelum jambatan baharu siap dibina pada 2017. – Bernama, 16 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen