JUALAN runcit China jatuh ke tahap terendah dalam tempoh dua tahun ketika pengeluaran kilang jatuh merudum, kata data rasmi pada Isnin, petunjuk kesan dasar sifar Covid Beijing kepada ekonomi negara itu.
Kuasa ekonomi kedua terbesar dunia itu terus bertegas meneruskan langkah ketat pencegahan penularan virus, menyekat rantaian bekalan ketika berpuluh bandar di negara itu termasuk bandar perniagaan utama-Shanghai- terus berdepan sekatan ketat pergerakan.
Pihak berkuasa berikrar untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi, menurunkan kadar gadai janji untuk pembeli rumah pertama dan mengumumkan pembukaan semula Shanghai secara berkala hujung minggu lepas tetapi pemerhati memberi amaran yang strategi sifar Covid akan menjejaskan sebarang kesan positif yang wujud.
Data terbaru itu diumumkan pada Isnin oleh Biro Statistik Nasional (NBS) yang menunjukkan jualan runcit menguncup sebanyak 11% tahun ini pada April.
Ia adalah kejatuhan terbesar sejak Mac 2022 ketika pengguna China terus berkurung dalam rumah dan disekat pergerakan mereka.
Pertumbuhan pengeluaran industri juga menguncup sebanyak 2.9% tahun ini, mencerminkan kemusnahan ekonomi kesan penutupan kilang dan penghentian pengangkutan ketika pihak berkuasa mengetatkan usaha mengekang Covid.
Kejatuhan itu adalah yang terbesar sejak awal 2020 dan jatuh 5.0% daripada pertumbuhan pada Mac.
“Pada April, pandemik memberi kesan besar kepada operasi ekonomi,” kata NBS dalah satu kenyataan, menekankan ia bersifat “jangka pendek.”
Ia berlaku ketika China berdepan penularan wabak terburuk sejak pandemik mula tercetus dua tahun lalu.
Pada April, kadar pengangguran meningkat kepada tahap tidak pernah dilihat sejak 2020, menurut data NBS, dengan kadar pengangguran bandar kini mencecah 6.1%. – AFP, 16 Mei, 2022.
Komen