KOREA Utara melaporkan lapan lagi kematian akibat “demam” hari ini selepas baru-baru ini mengumumkan kes Covid-19 pertamanya dengan tentera dikerahkan bagi menyelesaikan isu “bekalan ubat”.
Pemimpin Kim Jong-un mengarahkan suruhanjaya tentera bertindak “menstabilkan segera bekalan ubat-ubatan di Bandar Pyongyang dengan melibatkan kuasa kuat bidang perubatan Tentera Rakyat,” lapor media kerajaan KCNA.
Wabak itu yang sebelum ini dikatakan oleh Kim menyebabkan “pergolakan besar” telah melanda negara yang mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan terburuk di dunia.
Korea Utara tidak mempunyai vaksin Covid-19, ubat rawatan antivirus atau kapasiti ujian besar-besaran.
Menurut KCNA Kim melaporkan bahawa “perintah belum dilaksanakan dengan betul dan ubat-ubatan belum dibekalkan dengan betul kepada farmasi” semasa mesyuarat tergempar biro politik negara yang diadakan semalam.
Kekurangan itu berlaku selepas farmasi gagal mematuhi arahan untuk operasi 24 jam, katanya.
“Pegawai Kabinet dan sektor kesihatan awam yang bertanggungjawab ke atas bekalan tidak bekerja keras, tidak mengiktiraf krisis sekarang dengan betul tetapi hanya bercakap tentang semangat berkhidmat untuk rakyat,” kata KCNA Kim kepada pegawai.
Media kerajaan berkata seramai 50 orang sudah meninggal dunia dengan 1.21 juta kes demam dan sekurang-kurangnya 565,000 menerima rawatan perubatan. – AFP, 16 Mei, 2022.
Komen