DAP buat bengkel tolong peniaga jual makanan guna aplikasi penghantaran


Noel Achariam

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran akan mengadakan bengkel membantu orang ramai cara menjual makanan dari rumah secara lebih cekap. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2022.

ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran sedang berusaha membantu orang ramai menjual makanan melalui aplikasi penghantaran sebagai sebahagian daripada siri programnya merancakkan perniagaan mikro.

Beliau akan mengadakan bengkel pada 21 Mei ini bagi membantu orang ramai menjalankan perniagaan dari rumah atau gerai mereka serta mendapatkan pengguna yang lebih luas.

Mereka akan diajar cara menjalankan perniagaan melalui aplikasi seperti GrabFood, Foodpanda dan ShopeeFood, kata wakil rakyat DAP Selangor itu kepada The Malaysian Insight.

“Ia pada asasnya bagaimana untuk letak perniagaan makanan anda dalam talian. Kami harap, mereka dapat tarik lebih ramai pelanggan.”

Tambah Rajiv program itu akan membantu mereka yang telah terjejas oleh pandemik Covid-19.

“Ramai orang terjejas teruk dengan pandemik dan telah mula cuba buat kerja sambilan, memasak dan pelbagai perniagaan lain dari rumah mereka.

“Setakat ini, mereka bergantung kepada WhatsApp atau mulut ke mulut untuk mempromosikan makanan mereka.

“Jadi, kami ingin bantu mereka kembangkan perniagaan mereka dalam talian.”

Bengkel itu akan diadakan di Lara’s Spice Kitchen di Petaling Jaya dari 3 petang hingga 5 petang pada 21 Mei.

Kapasiti bengkel seramai 50 orang, dan ia berdasarkan walk-in dan terbuka kepada sesiapa sahaja, kata Rajiv.

“Kami telah menyediakan tempat serta jurulatih jualan dan pemasaran untuk mengendalikan sesi itu. Kami sedang mencari untuk memuatkan kira-kira 50 orang.

Keputusan untuk mengadakan bengkel mengenai topik ini dibuat selepas maklum balas daripada peserta dalam bengkel sebelumnya.

Beliau berkata orang ramai berpendapat mereka memerlukan kedai atau premis walaupun mereka menjual makanan dalam talian.

“Mereka boleh berbuat demikian dari rumah atau gerai mereka dan memanfaatkan platform penghantaran makanan dalam talian, kerana penjualan melalui WhatsApp hanya memberikan capaian yang terhad.

“Sudah ada ramai orang menggunakan aplikasi penghantaran makanan, dan mereka adalah pembeli sedia,” kata Rajiv. – 15 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen