Apabila rumah perdana menteri dibakar di Sri Lanka


Hishamuddin Rais

DI MALAYSIA kita pernah mengalami zaman Najib Razak sebagai perdana menteri, isterinya Rosmah Mansor sebagai First Lady dan Hishammuddin Hussein sepupu Najib sebagai menteri pertahanan.  

Ini watak politik negara Dunia Ketiga yang setengah kolonial dan setengah feudal. Malah sistem feudal yang masih tebal di Malaysia berjalan seiring dengan sistem demokrasi berparlimen – demokrasi raja berperlembagaan.

Ini juga watak politik dan sosio budaya feudal di Sri Lanka. Malaysia dan Sri Lanka dua negara bekas tanah jajahan Inggeris memiliki banyak persamaan.

Sri Lanka ada pilihan raya seperti di Malaysia. Sri Lanka ada Parlimen, ada perdana menteri dan ada menteri Kabinet seperti di Malaysia.

Di Sri Lanka ada presiden manakala di Malaysia kita ada perdana menteri tidak ada presiden tapi ada Agong – raja berperlembagaan.

Di Malaysia jumlah menteri Kabinet berubah. Hari ini jumlahnya 31 orang. Najib bukan lagi perdana menteri tapi sepupu Najib masih lagi dengan jawatan lama – menteri pertahanan.

Di Sri Lanka menteri Kabinet kerajaan sekarang berjumlah 26 orang. Empat ahli Kabinet ini adalah adik-beradik anak-beranak Rajapaksa. Adik jadi presiden, abang jadi perdana menteri, abang tertua jadi menteri pertanian, anak kepada perdana menteri jadi menteri belia.

Di Malaysia – padai zaman Najib – kerenah dan tindakan Najib, Rosmah dan Hisham dibuktikan membawa huru-hara yang maha hebat ke atas negara.

Di Sri Lanka perkara yang sama berlaku. Kerenah dan tindak tanduk Rajapaksa anak beranak telah dan sedang membawa huru hara.

Mengikut akuan bersumpah PI Bala dan akuan bersumpah Azilah, kita rakyat Malaysia terperanjat dengan fakta keterlibatan Najib dalam kes bunuh Altantuya, minah cun lagi bergetah dari Mongolia.

Dua tahun kebelakangan ini – hasil  kejayaan PRU14 – kita rakyat Malaysia juga diberitahu melalui mahkamah bagaimana Najib menipu dan mencuri berbilion ringgit dana negara dalam kes SRC dan 1MDB.  

Mahkamah juga memberitahu rakyat Malaysia bagaimana Rosmah isteri perdana menteri mendapat duit suapan untuk meluluskan projek.

Kita juga diberitahu bagaimana dana negara yang dicuri digunakan oleh anak Najib untuk membuat filem di Hollywood.

Melalui soalan di Parlimen rakyat Malaysia diberitahu bagaimana Hisham sepupu Najib ketika menjadi menteri pertahanan telah mendapat dana untuk membuat enam buah kapal tempur pesisir.

Mengikut laporan Parlimen RM5.94 bilion dibelanjakan. Masih ada lebih dari RM1 bilion tidak diketahui ke mana hilangnya.

Melalui soalan di Parlimen kita rakyat Malaysia diberitahu bagaimana RM9 bilion diambil tapi kapal peronda itu masih tidak sampai-sampai.

Ini baru kerenah Najib, karenah isteri Najib anak-beranak dan karenah sepupu Najib. Hasilnya rakyat Malaysia terseksa. Cuba bandingkan dengan kerenah anak beranak Rajapaksa di Sri Lanka.

Bayangkan bagaimana terseksa warga Sri Lanka di bawah kerajaan Rajapaksa adik-beradik dan anak-beranak.

Menteri kewangan, menteri pertahanan, menteri pertanian, menteri belia dan menteri agama adalah kementerian milik keluarga Rajapaksa adik-beradik.

Tidak ada satu pun projek ekonomi di Sri Lanka yang boleh berjalan atau diluluskan tanpa persetujuan Rajapaksa adik beradik. Keluarga ini mula mencengkam kuasa di Sri Lanka semenjak tahun 2004.

Di Malaysia Najib didakwa atas tuduhan mencuri duit dalam kes SRC dan 1MDB.

Di Malaysia kes SRC dan 1MDB Najib masih berjalan.

Di Sri Lanka Menteri Kewangan Basil Rajapaksa dan sepupu presiden didakwa menyonglap duit kerajaan dalam hal jual beli hartanah.

Di Sri Lanka kes Basil Rajapaksa masih berjalan.

Melalui Pandora Paper keluarga Najib dikatakan terlibat menyimpan duit di luar negara. Nama beberapa ahli keluarga Rajapaksa juga ada disebut dalam Pandora Paper.

Di Sri Lanka keluarga Rajapaksa terlibat dengan pengubahan wang haram melalui syarikat Asiaciti Trust berpangkalan di Singapura.

Di Malaysia Najib yang didakwa dalam kes 1MDB juga terlibat dalam kes pengubahan wang haram dengan Goldman Sachs Bank cawangan Singapura.

Keluarga Rajapaksa dilaporkan melalui Pandora Paper memiliki kondo dan rumah mewah di Sydney dan London.

Dari siasatan SPRM, Jho Low orang kepercayaan  Najib memiliki kondo dan flat mewah di New York. Tidak cukup dengan kondo mewah lelaki tembam ini juga memiliki lukisan dan bahan-bahan seni yang berjuta dolar harganya.

Dari maklumat Pandora Paper, syarikat milik keluarga Rajapaksa juga memiliki 31 lukisan dan bahan-bahan seni yang berharga. Bahan seni ini dihantar ke Geneva Freeport untuk disimpan dengan tujuan lari daripada cukai.

Justeru dunia tidak hairan – malah rakyat tertindas di seluruh dunia bertepuk tangan bergembira melihat tindakan warga Sri Lanka membakar rumah dan istana milik keluarga Rajapaksa. Malah rumah dan istana kroni dan kuncu-kuncu Rajapaksa juga turut sama dibakar.

Di Sri Lanka cacing Rajapaksa sudah naik ke mata. Warga Sri Lanka tidak boleh bersabar lagi.

Di Malaysia juga rakyat bertepuk tangan apabila hukuman 12 tahun penjara dikenakan ke atas Najib.

Di Malaysia Najib menjadi perdana menteri pada 2009. Maka bermulalah Rosmah anak beranak menjalankan budaya bertepuk dada tanya selera.

Nak beli emas atau nak beli intan. Hendak hadiah cincin berlian atau hadiah kalung intan. Hendak beg Birkin kulit buaya atau kulit biawak. Hendak bercuti di Laut Tengah, di London atau di Paris.

Di Sri Lanka Rajapaksa dan keluarga lebih daripada bertepuk dada tanya selera. Ini keluarga Maharaja Rajapaksa mendominasi politik Sri Lanka.

Keluarga Rajapaksa ini memaksa warga Sri Lanka menyembah mereka. Keluarga ini beraja di mata bersultan di hati – apa diminta itu yang dapat.

Di Malaysia karenah Najib anak beranak telah membawa bala kepada rakyat Malaysia.

Bala yang dibawa oleh Najib anak beranak ini masih dan sedang dirasakan oleh rakyat kelas bawahan dan anak semua bangsa di Malaysia.

Beban ekonomi akibat Najib mencuri dana negara menjadi beban yang kini sedang dipikul oleh kita semua rakyat Malaysia.

Di Sri Lanka Rajapaksa anak-beranak menggunakan agama Buddha sebagai benteng untuk mempertahankan kerenah keluarga yang mencuri duit negara. Ini mudah dilakukan kerana salah seorang dari Rajapaksa menjadi menteri agama.

Di Malaysia keluarga Najib telah menggunakan agama Islam sebagai benteng pertahanan apabila Najib dituduh mencuri duit 1MDB.

Dengan licik Najib bersekongkol dengan parti Islam pada Ogos 2017 untuk menghalalkan apa yang berlaku dalam 1MDB.

Tuan Ibrahim Tuan Man membawa delegasi parti Islam PAS untuk mendengar penerangan dari Arul Kandasamy, ketua pegawai eksekutif 1MDB.

Seperti di Sri Lanka, para sami Buddha telah menyucikan apa sahaja yang dilakukan oleh keluarga Rajapaksa.

Di Malaysia parti Islam telah berpuas hati dengan penerangan Arul Kanda bahawa tidak ada penyelewengan berlaku dalam 1MDB. Najib anak-beranak adalah mangsa fitnah.

Di Malaysia Najib telah didapati bersalah dalam kes SRC. Hukuman 12 tahun penjara dikenakan kepada Najib. Kini Najib dalam proses menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Di Malaysia pada malam Najib kalah PRU14 – rakan niaga Najib dari Indonesia menghantar kapal terbang untuk menyelamatkan Najib lari ke luar negara.

Apabila berita kesampaian kapal terbang ini tersebar rakyat datang mengawal Lapangan Terbang Subang. Bekas perdana menteri Najib dan Rosmah gagal lari.

Di Sri Lanka apabila berita tersebar bahawa Mahinda Rajapaksa bukan lagi perdana menteri rakyat datang ke kawasan rumah bekas perdana menteri dan membakar rumah tersebut. 

Tentera datang menghantar helikopter untuk menyelamatkan bekas perdana menteri.

Apabila berita tersebar bekas perdana menteri ingin melarikan diri ke luar negara mahkamah membuat arahan melarang enam orang keluarga Rajapaksa daripada meninggalkan Sri Lanka.

Di Malaysia bekas perdana menteri Najib sedang menunggu keputusan kes rayuan. Ketika ini  rakyat Malaysia melihat bagaimana Najib telah dijemput ke Istana Agong untuk berhari raya. Malah telah ada suara yang mahu Najib diampunkan oleh Agong.

Di Sri Lanka bekas perdana menteri Mahinda Rajapaksa sedang menunggu apakah dia akan dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan.

Kini bekas perdana menteri meminta perlindungan daripada adiknya Gotabaya Rajapaksa, presiden Sri Lanka.

Kes Najib bekas perdana menteri Malaysia masih belum selesai. Rakyat hanya akan berpuas hati  apabila Najib anak beranak masuk ke dalam penjara. Sepupu Najib Hisham Hussein masih lagi menteri pertahanan.

Kes Mahinda Rajapaksa bekas perdana menteri Sri Lanka belum selesai.

Rakyat masih belum berpuas hati terhadap keluarga Rajapaksa. Gotabaya Rajapaksa masih lagi berkuasa sebagai presiden.

Nampak jelas apa yang telah dan sedang berlaku di Malaysia telah dan sedang juga berlaku di Sri Lanka.  Apa yang berbeza antara kita dengan Sri Lanka hanyalah dalam makanan.

Di Sri Lanka bahan makanan makin susah hendak dibeli kerana negara sudah jatuh bankrap. Sri Lanka telah menjadi negara gagal.

Manakala di Malaysia bahan makanan masih boleh dibeli hanya harganya makin mahal. Malaysia ketika tulisan ini digarap masih belum bankrap. Tapi kalau Najib anak beranak dan kuncu-kuncu terus berkuasa maka Malaysia akan pasti menuju ke negara gagal. – 15 Mei, 2022.
 

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen