Mengapa tiada wakil doktor muda dalam pasukan petugas buli, soal Ramasamy


Kerajaan menubuhkan HWCITF untuk mengkaji sifat budaya kerja yang menyumbang kepada kejadian buli doktor muda dan lain-lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mei, 2022.

PASUKAN petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengkaji kejadian buli di hospital awam tidak diwakili pihak berkepentingan sebenar, kata P Ramasamy hari ini.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang berkata tiada wakil doktor pelatih atau pertubuhan yang mewakili mereka dalam pasukan petugas, malah wakil daripada masyarakat awam.

“Mengapa ini tidak diambil kira dalam proses pemilihan, kekal menjadi misteri, walaupun masih ada masa untuk mengubahnya.

“Sifat perwakilan dalam pasukan petugas adalah satu kelemahan,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.

Beliau juga berkata anggota semasa pasukan petugas itu juga boleh menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar bebas.

“Komposisi pasukan petugas tidak memberi gambaran ahlinya akan bebas daripada kepentingan dan berat sebelah kepada kerajaan.

“Hakikat mereka dipilih dan bukan orang lain mungkin mempersoalkan kebebasan mereka.

“Ketua pasukan petugas adalah bekas penjawat awam. Beliau mungkin mempunyai kepakaran bekerja selama bertahun-tahun untuk kerajaan tetapi adakah beliau akan mengetuai pasukan petugas ke arah lebih objektif, bukan demi kepentingan kerajaan?” katanya.

Pada Jumaat, menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) untuk mengkaji sifat budaya kerja yang menyumbang kepada kejadian buli doktor muda dan lain-lain.

Penubuhan pasukan petugas itu susulan kematian seorang doktor muda berusia 25 tahun di Hospital Pulau Pinang bulan lepas, yang terjun dari bangunan pejabat di Jalan Datuk Keramat, Georgetown, Pulau Pinang.

Beliau berkata tugas utama pasukan petugas itu adalah untuk menyiasat kematian doktor muda Hospital Pulau Pinang itu. 

Ia juga akan menilai budaya kerja dan pengurusan sumber manusia dalam perkhidmatan kesihatan kerajaan.

Ia akan membentangkan laporan kepada menteri kesihatan dua bulan dari sekarang.

Pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh Profesor Dr Siti Hamisah Tapsir, bekas ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Beliau ialah naib canselor Universiti UCSI.

Pasukan petugas itu terdiri daripada lapan orang pakar dalam bidang masing-masing.

Mereka ialah bekas ketua pegawai sumber manusia Kumpulan CIMB Hamidah Naziadin; Pro-Naib Canselor, Akademik dan Profesor Pediatrik di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Dr Zabidi AM Hussin; dan peguam, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla.

Ramasamy bagaimanapun mengalu-alukan pembentukan pasukan petugas itu kerana “sesuatu yang lebih baik daripada tiada”.

“Tetapi terdapat masalah jelas yang mungkin menjejaskan pasukan petugas daripada melaksanakan tugas yang diamanahkan,” tambahnya.

Beliau juga menuduh kerajaan menutup mata selama ini apabila menyedari budaya buli.

Beliau berkata pasukan petugas itu memberi gambara ia lebih merupakan jawatankuasa siasatan dalaman dan bukannya ditubuhkan untuk mendedahkan penemuannya kepada umum demi kepentingan negara.

“Apa jaminan penemuan pasukan petugas jika didapati tidak dapat diterima mungkin akan dimaklumkan kepada umum?

“Pasukan petugas mungkin terlibat dalam memadamkan kebakaran tetapi mungkin tidak memadamkan kebakaran secara kekal di hospital awam.

“Saya harap ia bukan satu amalan perhubungan awam semata-mata oleh kerajaan,” katanya. – 15 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen