KESATUAN Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU) mempersoalkan sikap sambil lewa pengurusan universiti dalam melindungi kebajikan pelajar susulan kejadian kebakaran terbaru di kolej kediaman.
UMSU berkata pengurusan bersalah kerana tidak memberi perhatian segera kepada aduan berkaitan kerosakan kipas di asrama pelajar di Kolej Kediaman Ke-7 (Kolej Za’ba).
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kejadian kipas terbakar di bilik asrama universiti itu.
Kebakaran itu disebabkan kerosakan kipas di bilik.
“Pihak kesatuan ingin menekankan bahawa insiden ini boleh dielakkan sekirangan pihak pengurusan tidak bersikap sambil lewa sewaktu menerima laporan kerosakan tersebut.
“Sebelum berlakunya insiden kebakaran itu, pelajar-pelajar di bilik itu telah membuat laporan sebanyak dua kali melalui portal UM HelpDesak di mana mereka menyatakan bahawa terdapat kerosakan terhadap kipas tersebut.
“Sikap sambil lewa dan kegagalan pengurusan UM dalam menangani perkara itu telah membawa kepada insiden kebakaran ini yang berkemungkinan akan menjadi kebakaran besar jika pelajar-pelajar itu tidak berada di dalam bilik,” kata kenyataan dikeluarkan kesatuan.
Difahamkan yang laporan kerosakan kipas itu dibuat pada 23 Mac dan 8 Mei. Kebakaran berlaku pada 12 Mei.
Tambah kesatuan lagi, kebakaran itu mungkin jadi tragedi jika pelajar tidak berada di dalam bilik dan menghubungi pihak bomba.
“Tambahan pula, selepas berlakunya insiden tersebut, pihak pengurusan UM terus menunjukkan sikap tidak profesional di mana mereka hanya menggantikan kipas yang terbakar dengan kipas baharu tanpa memasikan piunca kebakaran itu,” kata UMSU.
Tambahnya, pihak pengurusan juga tidak memeriksa sama ada wujud masalah pendawaian elektrik di bilik berkenaan.
Pelajar juga terus mengadu yang mereka masih boleh menghidu bau hangit daripada kipas yang baharu diganti.
“Fasiliti semasa di kolej kediaman sudah lama, berisiko dan kadang kala tidak berfungsi tetapi tidak ditukar secara berkala oleh pengurusan UM.
“Pihak kesatuan menggesan pihak pengurusan UM untuk mengambil serius terhadap isu kebajikan dan keselamatan pelajar dan menuntut agar pihak yang bertanggungjawab ke atas insiden ini diletakkan jawatan kerana mereka telah bersikap cuai.” – 15 Mei, 2022.
Komen