KOREA Utara pada Ahad melaporkan 15 kematian lagi akibat “demam” selepas negara itu baru-baru ini mengumumkan kes pertama Covid-19 dan mengarahkan sekatan pergerakan seluruh negara.
Media kerajaan KCNA berkata 42 orang meninggal dunia, dengan 820,620 kes dan sekurang-kurangnya 324,550 sedang dirawat.
Pemimpin Kim Jong Un berkata wabak itu menyebabkan “pergolakan besar” di Korea Utara.
KCNA melaporkan semua wilayah, bandar dan daerah di dikenakan sekatan pergerakan sepenuhnya dan unit kerja, pengeluaran dan kediaman ditutup.
Walaupun mengaktifkan “sistem kuarantin kecemasan maksimum” bagi memperlahankan penyebaran penyakit melalui populasinya yang tidak divaksinasi, Korea Utara kini melaporkan sejumlah besar kes baharu setiap hari.
Korea Utara mengesahkan pada Khamis varian Omicron yang sangat mudah menular dikesan di ibu negara Pyongyang, dengan Kim mengarahkan sekatan pergerakan seluruh negara.
Ia merupakan pengakuan rasmi pertama kerajaan bagi kes Covid-19 dan menandakan kegagalan sekatan koronavirus selama dua tahun yang dikekalkan sejak permulaan wabak itu.
“Penyebaran penyakit malignan menjadi pergolakan besar di negara kita sejak penubuhan DPRK,” kata Kim pada Sabtu, merujuk kepada Korea Utara dengan nama rasminya.
Korea Utara tidak mempunyai sistem kesihatan yang kukuh dan tiada vaksin Covid-19, ubat rawatan antivirus atau kapasiti ujian besar-besaran.
Ia sebelum ini menolak tawaran vaksin Covid-19 dari China dan skim Covax Pertubuhan Kesihatan Sedunia, tetapi Beijing dan Seoul mengeluarkan tawaran baru untuk bantuan dan vaksin.
Laporan KCNA tidak menyatakan sama ada kes baharu dan kematian diuji positif untuk Covid-19, tetapi pakar berkata negara itu akan bergelut untuk menguji dan mendiagnosis pada skala ini.
Amerika Syarikat dan Korea Selatan memberi amaran yang Kim sedang bersedia untuk menjalankan satu lagi ujian nuklear—yang akan menjadi ujian ketujuh rejim itu—dan dilakukan pada bila-bila masa.
Penganalisis memberi amaran Kim boleh mempercepatkan rancangan ujian nuklearnya dalam usaha untuk mengalih perhatian penduduk Korea Utara daripada wabak Covid-19. – AFP, 15 Mei, 2022
Komen