HARI pembalasan semakin hampir dengan pasukan petugas khas menyiasat kerugian berbilion ringgit Bank Negara Malaysia (BNM) dalam perdagangan mata wang asing pada 1990-an kini di penghujung sesi inkuiri dan bersedia menyerahkan laporan interim kepada Kabinet.
Apa yang mengejutkan ialah hingga sekarang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad masih belum dijemput ke depan pasukan itu dan berkongsi apa yang beliau tahu atau tidak tahu mengenai perdagangan yang menyebabkan kerugian AS$10 bilion itu.
Memandangkan kejadian di bank pusat itu berlaku ketika beliau memegang kuasa kerajaan dan terlalu banyak kenyataan pahit sehingga terbentuknya pasukan petugas bagi mengenal pasti sama ada berlaku cubaan menutup kerugian itu oleh kerajaan pada masa itu, dijangkakan Dr Mahathir akan dipanggil memberi keterangan.
Dalam keadaan sekarang, hampir semua kesalahan yang berlaku dalam kejadian malang itu akan jatuh kepada bekas menteri ekonomi dan perancang Nor Mohamed Yakcop.
Sumber kerajaan memberitahu The Malaysian Insight Nor Mohamed memberikan keterangan kepada pasukan petugas itu, peranan utama beliau dalam perdagangan forex itu dan kerugian di bank pusat berkenaan.
Memang jelas, kawalan dan penyeliaan longgar membawa kepada spekulasi dalam dunia pasaran wang. Pasukan petugas diberitahu kecuaian perdagangan seperti itu tidak boleh berlaku pada masa ini dengan lebih banyak kawalan dilakukan di BNM
Nor Mohamed berada di depan pasukan itu selama 45 minit semalam, menjawab soalan mereka mengenai apa punca kerugian besaran itu.
Ini adalah hari yang ditunggu sejak BNM pada 1992 melaporkan rizabnya yang lain menjunam daripada RM10.1 bilion pada 1991 kepada RbM743 juta pada 1992, kerugian RM9.2 bilion.
Terdapat juga liabiliti luar jangka sebanyak RM2.7 bilion. Pada 1993, BNM mendedahkan satu lagi kerugian perdagangan mata wang asing sebanyak RM5.7 bilion
Gabenor BNM pada masa itu Jaafar Hussein menggelar keseluruhan episod itu sebagai babak malang dalam sejarah bank pusat itu. Beliau mengambil tanggungjawab itu dan meletakkan jawatan, sama seperti tindakan diambil Nor Mohamed.
Tetapi episod itu tidak pernah berlalu. Ia dibangkitkan oleh pembangkang pada setiap pusingan pilihan raya, sebagai contoh salah kewangan yang dibenarkan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).
Kerajaan BN tidak mengendahkan kecaman lisan itu. Malah ketika Nor Mohamed kembali kepada kerajaan sebagai penasihat ekonomi kepada Dr Mahathir, dan kemudian menjadi menteri dalam pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Ironinya, pergaduhan antara dua pemimpin besar Umno memberikan dorongan untuk akhirnya mendedahkan mengenai kerugian forex yang berlaku lebih dua dekad lalu.
Dr Mahathir menyerang Perdana Menteri Najib Razak bertalu-talu mengenai skandal 1MDB. Kerajaan Najib membalas balik dengan berkata Dr Mahathir tidak sepatutnya berceramah kerana berbilion ringgit rugi di bawah pentadbirannya.
Dalam laporan interimnya kepada Kabinet, pasukan petugas khas diketuai bekas ketua setiausaha negara Sidek Hassan akan perlu menyatakan sama ada wujud cubaan menyembunyikan kerugian itu atau ada sebarang kenyataan mengelirukan mengenai kejadian itu dibuat kepada Parlimen.
Nor Mohamed nampaknya berkata tanggungjawab itu berakhir dengannya.
Bagi pelakon utama dalam BNM, ia memalukan untuk mengenang kembali episod paling malang dalam sejarah bank itu.
Bagi rakyat Malaysia, ia hanya satu peringatan yang skandal mahal menandai setiap era sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. – 27 Mei, 2017.
Komen