Sarawak akan gabung 4 pengurusan sumber air


Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Julaihi Narawi berkata empat pengurusan sumber air tersebut ialah Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB), Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB). – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2022.

SARAWAK akan menggabungkan empat entiti pengurusan sumber air serta bekalan air paip di negeri itu sebagai satu entiti baharu.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Julaihi Narawi berkata empat entiti tersebut ialah Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB), Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

“Kami masih mengkaji butiran akhirnya dengan juru perunding, setelah semuanya teratur kami akan membawanya ke Kabinet (Sarawak),” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri di sebuah hotel terkemuka di Kuching, hari ini.

Julaihi berkata pihaknya berhasrat agar satu entiti sahaja akan menguruskan air di negeri ini bagi meningkatkan kecekapan dan juga menyeragamkan keseluruhan pengurusannya.

“Ini kerana air adalah keperluan harian orang ramai, air adalah kehidupan, maka penting bagi kami menguruskannya sebaiknya,” tambahnya yang menyasarkan penggabungan itu secepat mungkin tahun ini. – Bernama, 14 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen