Jakim gantung kelulusan syarikat penyembelihan Australia


Jakim menggantung serta-merta kelulusan penyembelihan kepada syarikat diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal. – Gambar fail EPA, 14 Mei, 2022.

KELULUSAN penyembelihan diberikan kepada syarikat diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung serta-merta sehingga hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff berkata keputusan itu dibuat hasil sidang khas antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jakim dengan pihak berkuasa Australia iaitu Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE) semalam.

“Jakim menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan berkenaan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Australia.

“Jakim juga mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (Pekemas) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan bersama antara Jakim dengan JPV berhubung dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, hari ini.

Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pekemas dan Sahabat 99, dilaporkan mendedahkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan halal oleh syarikat di Australia, yang mendapat kelulusan daripada badan induk halal Jakim berdasarkan bukti video, gambar serta diperkukuhkan saksi yang juga pekerja sembelihan di syarikat itu.

Hakimah berkata, badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (Sichma) akan diberi surat tunjuk sebab.

Katanya, Sichma juga berkemungkinan dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Beliau yang menegaskan Jakim dan JPV memandang serius berhubung dakwaan itu berkata, prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh kerajaan Malaysia perlu melalui prosedur ketat dan terperinci sebelum melalui proses pembentangan serta penilaian sebanyak empat kali untuk diluluskan.

“Hal ini kerana proses pengiktirafan loji sembelihan dan loji pemprosesan luar negara dijalankan pengauditan secara sistematik oleh pegawai terlatih JPV dan Jakim berdasarkan beberapa piawaian yang ditetapkan untuk kualiti dan keselamatan produk,” katanya. – Bernama, 14 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen