PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan lawatan kerja empat harinya ke Amerika Syarikat (AS) sebagai satu kejayaan.
Beliau berkata, lawatan itu mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-AS serta Asean-AS.
“Amerika Syarikat penting kepada Malaysia daripada segi politik dan perdagangan,” katanya kepada media Malaysia di Washington pada hari terakhir lawatannya yang bermula Selasa.
“AS rakan dagang kedua terbesar dan keempat terbesar dari segi pelaburan di Malaysia,” tegasnya.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat beliau dengan pemimpin AS serta peneraju industri negara itu meningkatkan lagi hubungan berkenaan.
Beliau berkata, perjumpaan dengan pelabur serta peneraju industri Amerika memperlihatkan terdapat potensi pelaburan yang besar bagi Malaysia pada masa akan datang.
“Ramai yang berminat. Ada yang berjanji hendak tambah pelaburan dan ada yang hendak membuat pelaburan baharu,” katanya.
Dalam lawatan kerja itu, perdana menteri menghadiri sidang kemuncak khas Asean dan menemui Presiden AS Joe Biden, Naib Presiden Kamala Harris serta pemimpin negara Asean.
Presiden Biden turut menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan pemimpin negara Asean di Rumah Putih pada Khamis.
Ismail Sabri turut menghadiri majlis perjumpaan Hari Raya Keluarga Malaysia di sebuah hotel di Washington pada Khamis.
Beliau bercakap dalam bahasa Inggeris semasa mengadakan perjumpaan dengan pelabur dan ahli perniagaan Amerika.
“Saya bercakap dalam bahasa kebangsaan dalam tiga sesi sidang kemuncak khas hari ini.
“Enam pemimpin negara Asean bercakap dalam bahasa kebangsaan masing-masing pada sidang kemuncak khas itu kecuali Brunei, Filipina dan Singapura. Singapura bahasa kebangsaannya bahasa Inggeris,” kata Ismail Sabri.
Enam pemimpin Asean yang menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing dari Indonesia, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam dan Malaysia.
Myanmar yang berada dalam pentadbiran junta tentera tidak mendapat jemputan ke sidang kemuncak khas itu.
Ismail Sabri kemudian berlepas pulang ke tanah air, menamatkan lawatan kerjanya di AS. – Bernama, 14 Mei, 2022.
Komen