Ubah mentaliti harapkan subsidi, kata menteri Sarawak


Nelayan perlu mencari pendapatan lain ketika musim tengkujuh, kata menteri pemodenan pertanian dan pembangunan wilayah Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2022.

PETANI serta nelayan perlu mengubah mentaliti yang terlalu mengharapkan bantuan subsidi daripada kerajaan, kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Stephen Rundi Utom.

Beliau berkata, sebaliknya mereka seharusnya perlu memupuk sikap berdikari dan tidak terlalu bergantung.

Jelasnya, bantuan atau insentif lebih sesuai diberikan kepada mereka yang baru memasuki dan memulakan kerjaya dalam bidang pertanian.

“Sampai bila mereka perlu diberikan subsidi, mereka akan selamanya bergantung kepada bantuan. Pada mulanya memang saya berpendapat kita perlu beri bantuan tetapi ia tidak boleh selamanya sama ada anda petani atau nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada acara rakaman pentas Aco Lepa Ajau Birami Gawai oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Kuching, malam tadi.

Sementara itu, mengambil contoh nelayan, Rundi berkata, beliau faham mereka tidak boleh turun ke laut dalam beberapa bulan setahun kerana musim tengkujuh namun mereka harus memikirkan untuk mencari pendapatan lain ketika tempoh itu.

“(Sekiranya bantuan ingin diberikan), Kita perlu mencari kaedah bagaimana kita dapat lakukan bantuan ini secara efektif dan lebih lestari,” katanya. – Bernama, 14 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen