JABATAN Kesihatan Negeri Perlis (JKNPs) mengeluarkan tujuh notis kepada individu dan pemilik premis yang gagal mematuhi larangan merokok di tempat awam menerusi Op Lebaran Bebas Asap Rokok di sekitar Persiaran Makanan Bintong malam tadi.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perlis (Bahagian Kesihatan Awam) Dr Ghazali Chik berkata notis 32b di bawah Peraturan 11(1) dan 22(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu menyaksikan kompaun keseluruhan RM1,750.
“Kami melakukan pemeriksaan terhadap 33 buah premis, lima notis dikeluarkan kepada individu kerana merokok di tempat awam dan dua notis kepada pemilik premis yang gagal meletakkan tanda larangan merokok,” katanya.
Beliau berkata, selain pemeriksaan, pihaknya turut memberi nasihat kepada orang ramai mengenai larangan merokok di tempat awam melalui risalah, nasihat dan edaran kad berkaitan jenis kesalahan serta nilaian kompaun.
“Pendidikan kesihatan ini diberi supaya mereka tidak menghisap rokok di kawasan larangan merokok khususnya di tempat tumpuan awam seperti kedai makan,” katanya.
Beliau berkata, operasi akan terus dilakukan bagi menjaga kesihatan masyarakat khususnya mereka yang pergi ke tempat tumpuan awam seperti kedai makan, kawasan Rehat dan Rawat (RnR) dan sebagainya.
“Kami melihat isu merokok dalam kalangan pengunjung premis makanan masih lagi tinggi dan untuk pemilik premis kami melihat dari segi meletakkan tanda larangan merokok di premis mereka dengan saiz dan tempat yang jelas serta mereka tidak boleh menyediakan tempat abu rokok yang boleh mengundang pengunjung ke premis mereka,” katanya.
Beliau berkata, pemilik premis perlu melarang dan menasihati sekiranya ada pengunjung yang datang merokok atau menghisap vape di tempat mereka.
“Penguatkuasaan vape juga dilaksanakan jika dibuktikan ada bahan nikotin hasil tembakau dalam vape mereka, boleh dikenakan tindakan,” katanya. – Bernama, 14 Mei, 2022.
Komen