PEMIMPIN Asean tetap tegas dalam beberapa isu antarabangsa semasa pertemuan mereka dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada sidang kemuncak khas Asean-AS di Washington pada Sabtu.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pemimpin Asean juga menunjukkan pendirian bersama ketika membincangkan isu Russia-Ukraine dan Laut China Selatan.
Asean mahu krisis Russia-Ukraine diselesaikan menerusi meja rundingan, katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri sesi akhir sidang kemuncak khas dua hari bersama Biden dan pemimpin Asean.
“Perang tidak menguntungkan sesiapa. Malah banyak pihak rugi kerana kesan perang itu,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia berpendapat AS harus menggunakan pengaruhnya untuk membantu menyelesaikan krisis Russia-Ukraine.
Ismail Sabri berkata, Malaysia menegaskan negara Asia Tenggara turut terjejas akibat perang itu terutama dari segi inflasi serta harga makanan dan oleh itu mahu perang diselesaikan secara aman.
Pada 24 Februari, Russia melancarkan operasi ketenteraan penuh ke atas Ukraine, beberapa hari selepas Kremlin mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah di timur Ukraine.
Menyentuh isu Laut China Selatan, perdana menteri berkata, Asean juga bertegas dalam pendiriannya laluan itu perlu bebas daripada campur tangan luar.
“Laut China Selatan mesti kekal bebas seiring dengan kebebasan navigasi berdasarkan perundangan antarabangsa. Ia memberi kesan kepada rantaian bekalan jika wujud konflik di kawasan itu,” katanya.
Pemimpin Malaysia itu menyeru semua negara menghormati pendirian Asean dalam perkara itu.
China, Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam pihak yang menuntut untuk sebahagian besar atau sebahagian daripada sumber asli Laut China Selatan yang kaya dan isu itu tidak dapat diselesaikan sejak beberapa dekad lalu.
“Solidariti Asean dalam isu antarabangsa jelas semasa perbincangan dengan Presiden Biden. Prinsip Asean zon aman, bebas dan berkecuali diterjemahkan dalam pertemuan itu,” kata Ismail Sabri.
Perdana menteri berkata, beliau turut membangkitkan isu Palestin semasa pertemuan itu dan menggesa Washington menggunakan pengaruhnya dalam menyelesaikan kemelut itu.
“Kekejaman Israel perlu dihentikan. Malaysia menekankan Amerika Syarikat perlu jujur selesaikan isu ini.
“Kalau di Ukraine, Amerika boleh mengambil tindakan cepat, kita nak Amerika Syarikat mengambil tindakan cepat bagi isu Palestin,” katanya.
Ismail Sabri berkata, beliau turut membangkitkan isu Myanmar semasa pertemuan itu dan keperluan Konsensus 5 Perkara dipatuhi dalam menyelesaikan konflik itu.
Mesyuarat itu dihadiri semua pemimpin Asean kecuali Myanmar dan Filipina. Myanmar tidak dijemput manakala Filipina baru sahaja selesai pilihan raya umum.
Pemimpin Asean lain yang menghadiri sidang kemuncak itu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.
Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-Cha, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Laos Dr Phankham Viphavanh turut hadir. – Bernama, 14 Mei, 2022.
Komen