ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) perlu mewujudkan ekosistem kondusif bagi memastikan rantaian bekalan global sentiasa tersedia, kata Ismail Sabri Yaakob pada sidang kemuncak khas Asean-AS di Washington pada Sabtu.
Perdana menteri berkata, langkah itu penting dalam menangani isu jaminan kesihatan dan pemulihan pandemik.
Beliau berkata, mereka juga perlu bekerjasama dalam pembangunan vaksin melalui program penyelidikan bersama, perangkaian dan hubungan dalam bidang berkaitan vaksin.
Malah perkumpulan 10 negara anggota Asean dan AS boleh mengukuhkan kerjasama dalam pengesanan, pengawasan dan tindak balas terhadap penyakit berjangkit serta ancaman kesihatan, katanya semasa majlis makan tengah hari bersama pemimpin Asean anjuran Naib Presiden AS Kamala Harris sempena sidang kemuncak dua hari di Jabatan Negara AS.
Beliau berkata, Asean dan AS juga perlu meningkatkan kemampanan dalam perdagangan dan pelaburan, pembangunan modal insan dalam pendigitalan, daya tahan ekonomi dan integrasi di rantau ini.
“Asean dan AS perlu memanfaatkan potensi pendigitalan dan revolusi perindustrian keempat,” katanya.
Mengenai kerjasama maritim, Ismail Sabri berkata, Malaysia yakin Asean dan AS boleh meningkatkan lagi kerjasama dalam pembinaan kapasiti, serta pertukaran dan perkongsian maklumat dan perisikan.
Inisiatif itu, katanya, boleh mencegah, memerangi atau membanteras aktiviti jenayah di laut seperti lanun, rompakan bersenjata di laut, penyeludupan dan rampasan. – Bernama, 14 Mei, 2022.
Komen