Serba Dinamik, 4 eksekutif dikompaun berdasarkan bukti, elak perbicaraan panjang, kata AGC


Awal hari ini pengarah dan eksekutif kanan Serba Dinamik dibebaskan serta dilepaskan daripada pertuduhan selepas mereka menyelesaikan denda berjumlah RM15 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2022.

SERBA Dinamik Holding Bhd dan empat eksekutif tertinggi dikompaun kerana mengemukakan kenyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities mengambil kira keterangan yang menyokong pertuduhan dan untuk mengelakkan perbicaraan panjang serta berlarutan, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).

AGC berkata mereka berpandangan kepentingan awam adalah lebih terjamin dengan mengkompaun kesalahan yang didakwa dilakukan oleh dua pengarah dan dua eksekutif kanan SDHB.

“Dengan mengkompaun kesalahan-kesalahan tersebut tindakan punitif terhadap SDHB dapat dicapai dengan serta merta tanpa melalui proses perbicaraan yang lama.

“Selepas itu SDHB boleh mengalihkan sumber dan masa yang ada untuk menyelaraskan tindakan dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk mematuhi keperluan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini pengarah dan eksekutif kanan dibebaskan serta dilepaskan daripada pertuduhan oleh empat Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas mereka menyelesaikan denda berjumlah RM15 juta.

Mereka terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO Kumpulan) Serba Dinamik Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Azhan Azmi, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Syed Nazim Syed Faisal dan Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman.

Hakim Mahkamah Sesyen - Kamarudin Kamsun, Ahmad Kamar Jamaluddin, Emelia Kaswati Mohamad Khalid dan Sabariah Othman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa syarikat dan empat individu itu telah menjelaskan kompaun berjumlah RM15 juta pada 9 Mei lepas.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dan pasport dikembalikan kepada empat individu terbabit. 

AGC berkata prosiding jenayah terhadap SDHB tidak sesuai atau wajar diteruskan kerana kesan ekonomi yang akan berlaku.

“Impak pertuduhan terhadap SDHB adalah tidak seimbang dengan tahap kesalahan yang teruk yang dikatakan dilakukan oleh SDHB.

“Pada tarikh kenyataan media ini SDHB sedang berhadapan dengan prosiding penggulungan oleh pemiutang yang akan menjejaskan mata pencarian pekerja-pekerja SDHB, kepentingan pemegang saham dan pemiutang lain,” katanya.  – 13 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen