Skim Wilayah Bebas Berniaga diteruskan, ikut lokasi sesuai, kata Shahidan


Menteri Wilayah Persekutuan Dr Shahidan Kassim berkata Skim Wilayah Bebas Berniaga akan diteruskan namun pelaksanaannya disusun dan dirancang semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2022.

SKIM Wilayah Bebas Berniaga di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan yang dijadual tamat pada Jun ini akan diteruskan, namun pelaksanaannya akan disusun dan dirancang semula mengikut lokasi yang lebih sesuai.

Menteri Wilayah Persekutuan Dr Shahidan Kassim berkata kementerian itu menerima aduan daripada orang ramai mengenai sebahagian peniaga yang berniaga di lokasi tertentu seperti di hadapan rumah sehingga mengganggu laluan dan ketenteraman awam. 

“Saya akan tingkatkan (benarkan) yang mahu berniaga, tapi selepas ini bebas berniaga bukan bererti mereka bebas pilih (lokasi) untuk berniaga, tapi kita yang pilih (sedia), kita tidak mahu lagi mereka berniaga tapi menganggu ketenteraman awam.

“Lokasi untuk mereka berniaga sudah dikenal pasti, akan diberitahu kemudian,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Amanat Menteri Wilayah Persekutuan hari ini.

Skim Wilayah Bebas Berniaga diperkenal pada 15 November tahun lepas bagi membolehkan orang ramai di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai secara percuma. – Bernama, 13 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen