Warga emas disaran ambil dos penggalak kedua Covid-19


Individu berusia 60 tahun ke atas dan golongan dewasa berisiko tinggi digalakkan mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 kedua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2022.

PROTECTHEALTH menggalakkan individu berusia 60 tahun ke atas mendapatkan suntikan dos penggalak Covid-19 kedua.

Ketua pegawai eksekutifnya, Dr Anas Alam Faizli berkata keputusan memberikan dos penggalak kedua dibuat susulan kumpulan kerja teknikal mendapati kajian saintifik menunjukkan keberkesanan vaksin itu terhadap jangkitan Covid-19 menurun dengan ketara.

“Kajian menunjukkan keberkesanan vaksin terhadap kemasukan ke hospital bertahan untuk sekurang-kurangnya lima bulan.

“Namun, doa dos vaksin Covid-19 ketika siri awal dengan dos penggalak masih memberikan perlindungan tahan lama terhadap kesan teruk dalam kalangan dewasa,” katanya.

Anas merujuk kepada pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada Rabu iaitu semua individu 60 tahun ke atas kini boleh mendapatkan dos kedua penggalak, empat hingga enam bulan selepas mendapatkan dos penggalak pertama.

Sebagai tambahan, dewasa berusia 18-59 tahun dan remaja 12-17 tahun yang mempunyai masalah kronik dan berisiko tinggi mendapat simptom teruk atau maut jika dijangkiti Covid-19, boleh mendapatkan suntikan dos penggalak kedua, empat hingga enam bulan selepas dos penggalak pertama.

Anas berkata dos kedua dos penggalak diambil secara sukarela dan diberikan secara percuma menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Jika anda membantu warga emas dan individu berisiko tinggi mendapatkan dos penggalak kedua, anda mengambil langkah besar dalam melindungi kesihatan anda dan keluarga, jiran serta masyarakat.

“Mari kita terus melindungi kumpulan yang paling terdedah ini,” katanya.

Setakat Rabu, sebanyak 11,653 suntikan dos penggalak kedua diberikan kepada dewasa berusia 60 tahun ke atas. – 13 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen