Najib harap debat dengan Anwar dapat bantu Umno


Mohd Farhan Darwis

Bekas perdana menteri Najib Razak berharap debat dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim malam tadi dapat menonjolkan buah fikiran Umno yang lebih baik dalam mentadbir negara dan dapat membantu gabungan itu kembali menguasai Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Mei, 2022.

BEKAS perdana menteri Najib Razak berharap debat dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim malam tadi dapat memberikan kelebihan buat Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Pekan itu berharap ia dapat menonjolkan buah fikiran Umno yang lebih baik dalam mentadbir negara dan dapat membantu gabungan itu kembali menguasai Putrajaya.

“Mudah-mudahan kita ada sedikit peluru untuk turun ke bawah, banyak point, mudah-mudahan membantu kita.

“Kita nak kembalikan Umno di Putrajaya. Umno ya, jangan macam sekarang kena kongsi dengan orang lain. Umno dan BN,” katanya.

Najib juga berkata, beliau kini lega kerana debat tersebut berlangsung dengan baik dan percaya hujahnya lebih bernas berbanding Anwar.

“Lega rasa… Saya dah seminggu tak tidur lena. Agaknya malam ini insha Allah boleh (lena)... Saya cuba buat yang terbaik kerana saya tahu saya bawa obor Umno dalam debat (dengan Anwar).

“Saya nak tunjukkan Umno berdiri atas landasan betul, idea kita lebih bernas daripada pihak satu lagi dan kita ada falsafah tepat,” kata Najib lagi.

Debat yang berlangsung di Auditorium Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic) itu juga dipancarkan secara langsung melalui siaran televisyen dan platform media sosial. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Mei, 2022.

Najib berkata demikian di hadapan penyokongnya yang berkumpul di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur malam tadi selepas selesai debat bersama Anwar.

Najib diiringi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menobatkannya sebagai wira dalam debat yang berlangsung lebih satu jam.

“Malam ini memang Bossku juara, yang penting bukan retorik yang penting fakta, dari segi fakta tak boleh lawan Bossku.

“Tiap-tiap segmen dikuasai sepenuhnya oleh Bossku,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi yang merujuk gelaran popular Najib.

Beliau turut mencadangkan sesi debat dijalankan lebih kerap pada masa akan datang .

“Kalau tiap-tiap bulan buat begini lebih baik, tengok siapa hebat, bukan hebat dari segi serang orang lain tapi daya intelektual boleh persembahkan fakta tanpa emosi,” katanya.

Najib turut diiringi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan penyokong parti yang menyambut beliau dengan laungan “Hidup Bossku”, dan “Hidup Umno”.

Kumpulan penyokong berkenaan menonton debat berkenaan di skrin besar yang disiarkan secara langsung di Dewan Tun Hussein Onn sambil menikmati jamuan ringan.

Debat yang berlangsung di Auditorium Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic) itu juga dipancarkan secara langsung melalui siaran televisyen dan platform media sosial.

Anwar menyahut cabaran debat itu selepas Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Najib saling berbalah dalam isu kerugian dialami syarikat minyak dan gas Sapura Energy Bhd.

Sapura Energy, sebuah syarikat yang berkaitan dengan kerajaan, telah mengumumkan kerugian sebanyak RM8.9 bilion tahun lepas.

Najib dalam debat pada malam tadi mengulangi hujahnya bahawa kerajaan bertanggungjawab menyelamatkan firma yang memiliki pelaburan besar kerajaan melalui Permodalan Nasional Bhd.

Anwar bagaimanapun menegaskan, audit forensik perlu diadakan ke atas Sapura Energy dan individu menyeleweng harus berdepan hukuman sebelum firma itu diselamatkan. – 13 Mei, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen