Malaysia, Indonesia setuju perkukuh perpaduan Asean, kata Azmin


Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali mengadakan mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan Indonesia Muhammad Lutfi di luar Sidang Kemuncak Khas AS-Asean di Washington D.C pada Khamis. – Gambar Twitter, 13 Mei, 2022.

MALAYSIA kini menyuarakan nada yang sama, lebih daripada sebelum ini, dengan Indonesia bahawa sudah sampai masanya untuk memperkukuh perpaduan dan kekuatan kepusatan Asean dalam menghadapi ketidaktentuan global, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali.

Menerusi catatan di Twitter pada Khamis, beliau berkata selepas mengadakan mesyuarat dua hala yang aktif dan paling memberangsangkan dengan Menteri Perdagangan Indonesia Muhammad Lutfi di luar Sidang Kemuncak Khas AS-Asean pada Khamis, kedua-duanya bersetuju mengenai kepentingan untuk mengekalkan suara Asean didengar di wacana antarabangsa yang diadakan di platform plurilateral dan multilateral.

“Mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, kami berkongsi pendirian yang sama bahawa inisiatif itu harus bersifat inklusif, tidak kurang pentingnya mendukung kepusatan Asean,” katanya.

Azmin berkata untuk membincangkan lebih lanjut mengenai perkara strategik itu serta isu penting lain yang berkaitan, Malaysia memberikan sokongan penuh kepada Indonesia sebagai tuan rumah Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi Asean di Bali pada 18 Mei, 2022. – Bernama, 13 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen