AUDIT forensik yang betul perlu dilakukan sebelum keputusan boleh dibuat sama ada penyedia perkhidmatan minyak dan gas Sapura Energy Bhd layak diselamatkan oleh kerajaan atau tidak, kata ketua pembangkang Anwar Ibrahim hari ini.
Presiden PKR itu bersemuka dengan bekas perdana menteri Najib Razak hari ini dalam debat yang berlangsung di Malaysia Tourism Centre (Matic).
“Jika kita mahu melibatkan diri dalam hal ini, lakukan forensik audit, ketahui sama ada campur tangan kerajaan diperlukan atau tidak. Lakukan melalui proses yang betul,” kata Anwar semasa perdebatan.
Debat hari ini menemukan Najib dan Anwar berdebat secara terbuka buat pertama kali. Kedua-duanya juga pernah memegang jawatan menteri kewangan sebelum ini.
Anwar adalah menteri kewangan dari 15 Mac 1991 hingga 2 September 1998, semasa zaman Dr Mahathir Mohamad, ketika kedua-duanya masih dalam Umno dan Barisan Nasional berkuasa.
Sementara itu Najib dinamakan sebagai menteri kewangan dari 23 September 2008 hingga 9 Mei 2018.
Beliau memegang jawatan itu manakala Abdullah Badawi sebagai perdana menteri. Selepas itu, apabila Najib mengambil alih jawatan perdana menteri, beliau memegang portfolio tersebut.
Semasa mereka berdua berdebat, ejekan dan tepukan kedengaran daripada orang ramai bergantung kepada siapa yang bercakap.
Najib sebelum ini mencadangkan syarikat itu perlu diselamatkan kerana ia melibatkan ribuan pekerja, vendor dan paling penting syarikat itu milik rakyat.
“Kenapa Sapura perlu diselamatkan? Kerana ia dimiliki oleh rakyat. Keputusan itu dibuat Pakatan Harapan pada 2019 bagi Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengambil alih. Jika ia bukan milik PNB, saya tidak akan berminat untuk berdebat,” kata Najib.
Beliau juga berkata pada zaman kemuncaknya, Sapura merupakan penyedia perkhidmatan minyak dan gas kedua terbesar di dunia.
Kata Najib, syarikat mulai jatuh apabila harga minyak mentah turun secara drastik.
Ahli Parlimen Pekan itu juga mengulangi penegasannya untuk menyelamatkan Sapura, dengan tiada satu sen pun yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan.
“Kita boleh menggunakan Petronas untuk mengambil alih Sapura kerana syarikat itu mempunyai kepakaran.
“Petronas boleh memberi jaminan bahawa Sapura akan memenuhi semua kewajipannya serta menyediakan modal pusingan kepada syarikat yang kekurangan wang itu.
“Apabila ia pulih, Petronas boleh menjualnya untuk mendapatkan keuntungan,” kata Najib.
Model ini digunakan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk menyelamatkan American International Group (AIG) serta Citigroup, katanya.
Anwar membalas dengan bertanya kepada Najib apakah wang yang beliau fikir Petronas gunakan.
“Bukan sahaja kita akan membelanjakan sen tetapi berbilion-bilion dengan menggunakan Petronas untuk menyelamatkan syarikat ini.
“Kita tidak sepatutnya menyelamatkan syarikat ini, dan syarikat seperti Serba Dinamik dan membiarkan pesalah bebas,” katanya.
Anwar menambah, alasan bahawa Sapura adalah syarikat milik Bumiputera tidak cukup untuk menyelamatkannya.
Turut hadir beberapa pemimpin Umno termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Ahmad Maslan, Ahli Majlis Tertinggi Puad Zakarshi dan Noh Omar.
Di pihak Anwar pula, Ahli Parlimen Pandan Wan Azizah Wan Ismail duduk di barisan hadapan bersama Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil and Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming, sekadar menyebut beberapa nama.
Terdapat 400 orang yang hadir di Matic.
Sapura Energy mencatatkan kerugian bersih RM6.61 bilion pada suku keempat berakhir Januari 2022 berbanding kerugian RM216.03 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan nilai muhibah bernilai RM3.29 bilion dan kemerosotan nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan bernilai RM2.1 bilion.
Bagi tahun penuh berakhir 31 Januari, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM8.9 bilion — tertinggi pernah dialami — manakala hasil tahunannya turun 22.84% kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion.
Syarikat itu kini sedang menjalankan penstrukturan semula hutang secara besar-besaran yang melibatkan bank, vendor dan kontraktor. – 12 Mei, 2022.
Komen