Kes HFMD di Johor naik 6.8 kali ganda


Kebanyakan kes HFMD di Johor berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun dan selebihnya berumur lebih 13 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mei, 2022.

KES penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Johor dilaporkan meningkat sebanyak 6.8 kali ganda bagi tempoh 1 Januari hingga 7 Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata sehingga Minggu Epid 18/2022 (yang berakhir 7 Mei), sebanyak 640 kes HFMD dilaporkan berbanding 94 kes pada tempoh sama pada 2021.

Beliau berkata peningkatan itu dijangka berlaku pada tahun ini ekoran kelonggaran prosedur operasi standard (SOP),  bagaimanapun situasi masih terkawal memandangkan bilangan itu adalah rendah berbanding situasi praCovid-19 iaitu 1,015 kes pada tempoh yang sama 2019.

“Di Johor, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu sebanyak 614 kes (96%) diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 22 kes (3%) dan selebihnya berumur lebih daripada 13 tahun.

“Sehingga kini, sebanyak 24 wabak HFMD dilaporkan dengan daerah tertinggi Johor Bahru (10), diikuti Kluang (enam) dan Kota Tinggi, Kulai serta Segamat masing-masing dua wabak manakala satu kes masing-masing di Batu Pahat dan Tangkak dengan majoriti penularan berlaku di taska iaitu 17 wabak,” katanya dalam kenyataan, di Johor Bahru, malam ini.

Beliau berkata memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan kanak-kanak, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ingin menegaskan agar semua pengusaha institusi perlu mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang digariskan bagi mengurangkan risiko jangkitan terhadap kanak-kanak. – Bernama, 12 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen