Serba Dinamik, eksekutif tertinggi selesai sepenuhnya kompaun RM16 juta


SERBA Dinamik Holdings Bhd dan eksekutif tertingginya melaksanakan penyelesaian penuh kompaun mereka, yang dikenakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan jumlah keseluruhan RM16 juta.

Dalam kenyataan pada Khamis, Serba Dinamik menjelaskan pembayaran dibuat pada 9 Mei, sebelum tarikh akhir lanjutan pada 11 Mei 2022.

“Syarikat juga ingin menekankan bahawa operasi diteruskan seperti biasa, dengan tumpuan kepada menguruskan pemiutang dan proses penstrukturan semula Nota Amalan 17,” jelasnya.

Pada 13 April, 2022, Serba Dinamik; Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Abdul Karim Abdullah; Pengarah Eksekutif, Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi; dan Naib Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman dikenakan kompaun RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan maklumat palsu dalam penyata kewangan syarikat.

Hafiz dikenakan kompaun tambahan RM1 juta kerana memalsukan rekod perakaunan anak syarikat Serba Dinamik, Serba Dinamik Sdn Bhd. – Bernama, 12 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen