MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa peguam Muhammad Shafee Abdullah cuba menyembunyikan “identiti” wang berjumlah RM9.5 juta yang diterima daripada Najib Razak sebagai pinjaman, sedangkan wang tersebut adalah bayaran khidmat guaman kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Farid Jabar, 37, berkata berdasarkan kepada dua rakaman percakapan yang diambil oleh SPRM pada 2017 dan 2018, Muhammad Shafee menyatakan bahawa wang RM9.5 juta itu adalah bayaran khidmat guaman, namun dalam satu rekod percakapan dan kenyataan media, peguam itu memberitahu wang tersebut adalah pinjaman.
“Pada awalnya, Shafee dirakam percakapan (dua rakaman pada 2017 dan 2018) sebagai saksi berkaitan penerimaan wang RM9.5 juta daripada Najib yang mana Shafee adalah salah seorang yang menerima wang daripada Najib yang ketika itu Najib disiasat oleh SPRM.
“Penjelasan Shafee menerusi dua rekod percakapan yang saya peroleh, jelas membuktikan bahawa penerimaan RM9.5 juta itu merupakan bayaran yuran guaman bagi kes-kes petisyen pilihan raya tahun 2004 dan 2006 yang telah selesai,” katanya dan menambah dua rekod percakapan itu diambil oleh dua pegawai SPRM.
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada perbicaraan kes peguam itu yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mohamad Farid berkata beliau telah mengemukakan aduan pada 4 September 2018, yang menjurus kepada kesalahan penerimaan wang RM9.5 juta oleh Muhammad Shafee yang peguam kanan itu merupakan suspek dalam kertas siasatannya.
“Siasatan yang dibuat oleh saya adalah menjurus kepada sama ada penerimaan dua cek berjumlah RM9.5 juta telah diisytiharkan di dalam Borang B Tahun Taksiran (LHDN) 2013 dan 2014, daripada situ siasatan saya mendapati bahawa tiada laporan yang dibuat.
“Siasatan saya juga mendapati, berdasarkan rakaman percakapan dan kenyataan media, beliau (Muhammad Shafee) cuba menyembunyikan identiti sebenar penerimaan RM9.5 juta yang diterima olehnya sebagai pinjaman, sedangkan duit RM9.5 juta itu merupakan bayaran bagi khidmat guaman yang telah diberikan oleh Shafee kepada Umno dan BN,” katanya.
Kepada soalan Afzainizam mengapa saksi terakhir itu tidak mengeluarkan notis kepada Muhammad Shafee dan firma Shafee & Co, supaya mengemukakan invois berhubung bayaran khidmat guaman kepada Umno dan BN, Mohamad Farid berkata Muhammad Shafee sendiri mengesahkan bahawa beliau tidak meminta sebarang invois daripada Najib kerana “segan”.
“Selain itu, cek (RM9.5 juta) itu dibuat sendiri oleh Najib kepada Shafee kerana kes-kes petisten pilihan raya 2004 dan 2006 telah selesai dilaksanakan,” jelasnya. – Bernama, 12 Mei, 2022.
Komen