JUMLAH mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Daerah Tenom dan Beaufot menurun kepada 1,433 orang daripada 554 keluarga pada petang ini, berbanding 1,958 orang daripada 733 keluarga pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan empat PPS kesemuanya di Daerah Tenom ditutup, menjadikan hanya 13 PPS beroperasi di kedua-dua daerah yang dilanda banjir itu, setakat petang ini
Menurut kenyataan itu PPS yang ditutup ialah di Dewan Kebudayaan Mandalom Lama, Rumah Kebudayaan Makakagas, Rumah Kebudayaan Ponontomon dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mandalom.
Sebanyak 11 PPS masih dibuka di Tenom iaitu Dewan Mini Jinuim Jimin menempatkan 139 mangsa, Dewan Labut 2 (134), Dewan Masyarakat Sri Antenom (103), Rumah Kebudayaan Batu-Batu (123), Rumah Kebudayaan Pantagon Saga (47).
Rumah Kebudayaan Maugus pula menempatkan 231 mangsa, Rumah Kebudayaan Angalor (91), Dewan Kampung Kalang Kanar (24), Rumah Kebudayaan Kalasasan (77), Dewan Terbuka Kampung Saga (22), dan Rumah Kebudayaan Belumbung Kemabong (92).
Menurut kenyataan itu PPS yang masih beroperasi di Beaufort ialah Dewan Selagon yang menempatkan 218 mangsa dan Dewan DSP DUN Banir (132 mangsa).
Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort Mohd Nazri Ajun ketika dihubungi pemberita berkata pihaknya telah membuat persediaan awal bagi menghadapi bencana itu termasuk dari segi logistik pemindahan mangsa dan pasukan penyelamat.
“Banjir kali ini berpunca daripada hujan lebat berterusan serta limpahan air sungai, dan disebabkan Beaufort daerah yang sering dilanda banjir, kita telah membuat persediaan awal. Setakat ini semua operasi termasuk bantuan dan pemindahan mangsa berjalan lancar,” katanya.
Sebanyak 22 kampung di Tenom dan 56 kampung di Beaufort terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sejak tiga hari lepas.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memberitahu Kilometer (KM) 4.3 di Jalan Sayap, Kota Belud ditutup kerana terdapat kerosakan pada jambatan susulan hujan lebat berterusan, manakala Jalan Tomis Tiang Lokos di Tuaran tidak boleh dilalui akibat banjir kilat.
Tiada jalan alternatif untuk KM4.3 Jalan Sayap dan pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Menurut kenyataan itu orang ramai yang tidak dapat melalui Jalan Tomis Tiang Lokos pula boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Pukak-Lokub-Pahu. – Bernama, 12 Mei, 2022.
Komen