Sulaiman nafi letak jawatan ketua menteri Melaka


Sulaiman Md Ali berkata Umno dan BN Melaka sedang fokus perkukuh usaha dan tenaga untuk rampas kembali kerusi Parlimen yang hilang semasa PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2022.

SULAIMAN Md Ali menafikan dakwaan beliau meletakkan jawatan sebagai ketua menteri dan menganggap ia hanya satu khabar angin yang ingin mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri.

“Saya ingin menegaskan bahawa setakat hari ini saya masih ketua menteri Melaka dan akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka, hari ini. 

Sulaiman berkata isu sedemikian tidak sepatutnya timbul terutama ketika Umno dan Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka sedang fokus memperkukuhkan usaha dan tenaga untuk merampas kembali kerusi Parlimen yang telah hilang semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita punya agenda yang lebih besar dan utama daripada bermain politik seperti ini. Saya orang parti, dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh parti,” katanya.

Sulaiman juga menegaskan sikap terbukanya dalam mendengar pandangan ahli-ahli politik di Melaka bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya ia kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik.

“Setelah memenangi PRN Melaka ke-15 yang lalu, saya bersama barisan exco dan anggota pentadbiran kerajaan negeri berusaha gigih melaksanakan program-program pembangunan negeri Melaka dan memenuhi aku janji-aku janji yang telah dilafazkan.

“Segala usaha ini adalah untuk memastikan negeri Melaka dan rakyatnya dapat menikmati limpahan kemajuan, pembangunan dan kemakmuran yang setanding dengan negeri-negeri dan negara-negara maju yang lain,” katanya.

Sulaiman berkata ketika ini beliau berada di Sarajevo, Bosnia and Herzegovina bagi mengetuai misi pelaburan negeri dan menghadiri Forum Perniagaan Sarajevo 2022  antara lain bagi melihat peluang-peluang pelaburan yang ada serta menarik pelaburan asing ke Melaka.

“Pada masa sama, saya terus memberikan perhatian dan mengikut rapat perkembangan yang berlaku di Melaka, baik daripada segi pentadbiran kerajaan negeri mahupun daripada segi perkembangan politik tanah air,” katanya. – Bernama, 12 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen