Myanmar buka semula permohonan e-Visa pelancong mulai 15 Mei


Myanmar melancarkan platform permohonan visa dalam talian pada September 2014 dan menerima permohonan e-Visa menerusi laman sesawang itu. – Gambar AFP, 12 Mei, 2022.

MYANMAR akan membuka semula permohonan e-Visa pelancong mulai Ahad, selepas lebih dua tahun negara itu menggantung semua permohonan baharu akibat pandemik Covid-19.

“Perkhidmatan e-Visa Dalam Talian kami untuk permohonan visa pelancong akan dibuka semula berkuat kuasa 15 Mei 2022,” menurut Kementerian Imigresen dan Penduduk pada Khamis, lapor Xinhua.

Langkah itu dibuat selepas negara berkenaan menyambung semula operasi penerbangan komersial antarabangsa pada 17 April dan pembukaan semula sempadannya kepada pengembara antarabangsa.

Data rasmi dikeluarkan Kementerian Kesihatan menunjukkan kadar kes harian Covid-19 berada di bawah 1% selama lebih sebulan sejak 4 April.

Pada 1 April lepas Myanmar membuka semula permohonan e-Visa perniagaan. 

Myanmar melancarkan platform permohonan visa dalam talian pada September 2014 dan menerima permohonan e-Visa menerusi laman sesawang itu. – Bernama, 12 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen