KEGAGALAN saksi pendakwaan Lim Poh Seng untuk mengingat fakta semasa pemeriksaan balas kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Najib Razak hari ini telah menjengkelkan pihak pembelaan.
Peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed dilihat bengang dengan jawapan sama dan berulang oleh Lim yang tidak ingat kebanyakan butiran.
Lim merupakan saksi ke-18 pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB Najib. Bekas perdana menteri itu dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram untuk kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013.
Lim, 48, merupakan setiausaha Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dari 2008 hingga 2011.
Semasa pemeriksaan balas, Wan Aizuddin dilihat mengeluh berkali-kali apabila Lim tidak menjawab soalannya dengan baik.
Wan Aizuddin: Bolehkah anda beritahu mahkamah bagaimana perkenalan anda dengan Jho Low (Low Taek Jho) bermula?
Lim: Dia datang untuk berikan beberapa perkhidmatan korporat kepada beberapa syarikat yang dia syorkan.
Wan Aizuddin: Bolehkah anda ingat tahun itu?
Lim: Saya tidak ingat.
Wan Aizuddin: Bolehkah anda ingat syarikat-syarikat yang beliau cadangkan?
Lim: Tidak, saya tidak ingat.
Wan Aizuddin: Anda ingat lagi ada sediakan perkhidmatan kepada Cendana Destiny dan Selesa Productive?
Lim: Saya tidak ingat.
Pada ketika ini, Wan Aizuddin yang kelihatan bengang bertanya sama ada Lim boleh ingat sama ada Low telah mengesyorkan beliau (Lim) berkhidmat sebagai setiausaha kepada syarikat lain.
Lim mengiyakan.
Wan Aizuddin kemudian bertanya sama ada Low membuat tawaran ini sebelum TIA ditubuhkan, di mana Lim menjawab ingatannya samar samar tentang kejadian itu.
Lim: Saya rasa sebelum (TIA ditubuhkan), dalam ingatan saya yang samar ini.
Lim kemudian ditanya bagaimana beliau mendapat pekerjaan dengan TIA.
Katanya kerana beliau pernah berada dalam jawatankuasa pemandu TIA sebelum syarikat itu ditubuhkan secara rasmi, dan lembaga pengarah yang melantiknya sebagai setiausaha syarikat.
Wan Aizuddin: Jho Low ada tawarkan awak jadi setiausaha TIA?
Lim: Tidak, ia adalah lembaga, secara kolektif. Bukan mana-mana individu.
Pada pukul 3.30 petang, Wan Aizuddin meminta perbicaraan ditangguhkan ke Selasa depan.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permintaan itu. – 12 Mei, 2022.
Komen