Apa rancangan Putrajaya tangani inflasi, kekurangan buruh, soal Guan Eng


Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bertanya adakah Putrajaya ada menyediakan dasar untuk tangani masalah buruh dan kenaikan harga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2022.

BEKAS menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini bertanya adakah Putrajaya sudah menyediakan dasar untuk menangani masalah kekurangan buruh dan kenaikan harga.

Beliau turut bertanya apa rancangan kerajaan untuk individu yang sudah habis menggunakan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 masing-masing.

Mendakwa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak mempunyai dasar sebenar untuk pertumbuhan ekonomi mampan, Lim berkata pengeluaran awal simpanan persaraan hanya langkah jangka pendek, walaupun jika ia membawa masuk RM40 bilion dalam ekonomi.

“Ia mewujudkan ilusi faktor feel-good yang menyelesaikan keperluan kewangan segera orang ramai yang tidak cukup wang untuk berbelanja dan menguruskan kenaikan harga makanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim bertanya adakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menangani masalah kekurangan buruh yang makin meruncing.

“Pengumuman Bank Negara untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dengan 25 mata asas lagi kepada 2% menunjukkan inflasi dan kenaikan harga akan menjadi cabaran lebih besar ekonomi, berbanding mengekalkan pemulihan ekonomi,” katanya.

Lim berkata pertumbuhan ekonomi mampan bagi 2022 mungkin terjejas akibat ringgit yang lemah dan masalah struktur berkaitan kekurangan pekerja dalam sektor utama ekonomi, selain kekurangan perubahan institusi yang menganjurkan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Kesan ringgit yang lemah, (menjunam) paling rendah dalam sejarah berbanding dolar Singapura, adalah tidak dijangka dengan kenaikan harga minyak dunia dan komoditi asas seperti minyak kelapa sawit.

“Pada masa sama, pertumbuhan ekonomi sukar dnegan banyak sektor utama seperti pelancongan, hotel, hiburan dan rekreasi selain PKS masih bergelut untuk bertahan dan mencapai paras 2019.”

Lim berkata kenaikan harga barang tidak dibantu dengan kenaikan gaji. – 12 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen