Doktor pakar antara yang dilapor pembuli, kata Khairy


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kelima-lima mereka bagaimanapun tidak digantung tugas sebaliknya masih dibenarkan bertugas seperti biasa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2022.

DOKTOR pakar antara lima nama yang dilapor ke Kementerian Kesihatan yang didakwa membuli doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Kelima-lima mereka bagaimanapun tidak digantung tugas sebaliknya masih dibenarkan bertugas seperti biasa, katanya.

“Kita tidak boleh memindah keluar atau menggantung tugas doktor berkenaan, ada nama yang dihantar itu turut membabitkan peringkat pakar.

“Bukan senang kita nak pindah keluar doktor pakar. Jadi buat masa ini semua masih bertugas seperti biasa dan siasatan masih berjalan,” katanya, seperti dipetik BH Online.

Semalam, exco kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata beliau menyerahkan nama lima doktor di Hospital Pulau Pinang yang didakwa membuli untuk siasatan lanjut Kementerian Kesihatan.

Mereka bagaimanapun tiada kaitan dengan kematian seorang doktor pelatih di hospital berkenaan, yang setakat ini masih disiasat.

Pada 17 April lepas, seorang doktor pelatih lelaki berusia 25 tahun dijumpai mati dipercayai terjatuh dari unit kediamannya di Jalan Datuk Keramat di Pulau Pinang.

Doktor pelatih itu disahkan melaporkan diri di Hospital Pulau Pinang pada 4 April.

Khairy sebelum ini berkata Kementerian Kesihatan akan menubuhkan pasukan bebas untuk menyiasat kematian doktor pelatih itu. – 12 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen