Sukarelawan berganding bahu beri kanak-kanak pelarian pendidikan percuma


Elill Easwaran

Project R.ED atau Refugee Education memberi pendidikan percuma kepada anak-anak pelarian di sekitar Lembah Klang.– Gambar The Malaysian Insight, 12 Mei, 2022.

ANAK-anak pelarian di sekitar Lembah Klang berpeluang mendapat pendidikan secara percuma hasil usaha kumpulan sukarelawan Project R.ED, singkatan bagi Refugee Education.

Diasaskan bersama oleh Hilda Paviter, 27, Project R.ED dilancarkan pada Mac lalu.

Hilda memberitahu The Malaysian Insight, buat masa ini pendidikan percuma diberi kepada kira-kira 35 anak-anak pelarian berusia antara tujuh hingga 13 tahun itu dengan penglibatan 10 guru.

“Guru-guru ini adalah sukarelawan yang juga kenalan saya. Ada juga antara mereka adalah rakan kepada kenalan saya.

“Sesetengah daripada mereka tiada pengalaman mengajar. Tetapi kami semua ada satu persamaan iaitu harapan terhadap kanak-kanak, dan ini sangat penting,” katanya.

Menurut Hilda, guru-guru Project R.ED mengajar empat mata pelajaran berbeza setiap bulan – Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Kemanusiaan – dan diajar berteraskan empat nilai iaitu keyakinan, sifat ingin tahu, empati dan rasa kekitaan.

Ditanya apakah yang menjadi dorongan beliau untuk memulakan projek ini, Hilda berkata beliau percaya setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan.

“Walaupun saya dan pengasas bersama mungkin terkeluar daripada sistem pendidikan awam, namun kami percaya setiap kanak-kanak termasuk pelarian berhak mendapat pendidikan berkualiti.

“Saya suka berada dalam kelas bersama murid dan saya mula merasainya sejak saya jadi sukarelawan pada tahun lepas. Tetapi persoalannya, apa yang dikatakan pendidikan berkualiti? Inilah yang sedang kami usahakan,” ujar beliau.

Buat masa ini Project R.ED memberi pendidikan percuma kepada kira-kira 35 anak-anak pelarian berusia antara tujuh hingga 13 tahun dengan penglibatan 10 guru sukarelawan. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Mei, 2022.

Hilda berkata Project R.ED diwujudkan susulan kanak-kanak pelarian di Malaysia tidak diberi peluang untuk mendapat pendidikan formal.

“Walaupun murid-murid saya tak ke sekolah macam kanak-kanak lain, kami mahu menyediakan ruang di mana mereka boleh meneroka serta mempelajari lebih banyak tentang diri mereka dan dunia sekitar mereka.”

Tambahnya, insiatif ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada ibu bapa kanak-kanak pelarian.

“Ada ibu bapa yang tidak henti-henti berterima kasih kepada saya apabila mendapat tahu program ini adalah percuma.

“Minggu lepas saya baru mendapat tahu kanak-kanak ini sebenarnya tinggal agak jauh dari kelas .

“Ibu bapa sanggup berjalan jauh untuk menghantar dan menjemput anak mereka pulang, dan saya yakin usaha kami ini tidak sia-sia,” kata Hilda.

Beliau bagaimanapun berkata inisiatif ini adalah projek perintis dan hanya dilaksanakan untuk enam bulan.

“Selepas enam bulan kami berharap untuk mempelajari dan memahami apa yang berkesan dan sebaliknya. Dan selepas itu kami akan susun semula program seterusnya dengan penambahbaikan.” – 12 Mei, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen