PKR tidak pernah berbincang mengenai pembentukan khemah besar gabungan pembangkang dalam mana-mana mesyuarat dalaman rasmi parti, kata setiausaha agungnya Saifuddin Nasution.
Perkara itu katanya hanyalah sekadar perbincangan oleh komponen Pakatan Harapan (PH) bagi meneroka idea menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan situasi politik semasa tanah air.
“Tidak benar, secara rasmi dalam mesyuarat parti perbincangan itu tak pernah berlaku. Ia lebih bersifat perbincangan, percambahan idea.
“Apabila tengok situasi politik sekarang, kita bincang, lontar idea, dan dalam konteks PKR apakah ia mengikat PKR untuk komited konsep khemah besar, jawapannya tidak,” kata Saifuddin kepada pemberita di Shah Alam.
Beliau ditemui selepas debat bersama Rafizi Ramli, yang bersaing dengannya untuk jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR yang bermula hujung minggu ini.
Saifuddin menjelaskan dalam semua perbincangan parti yang diberikan keutamaan ialah usaha untuk mengukuhkan parti dan gabungan PH.
“Sebab parti sebelum buat keputusan kena ada prosesnya, bincang di mana, kongres, Majlis Pimpinan Pusat (MPP), biro politik, temu rapat, itu adalah platform proses buat keputusan… di peringkat ini apakah ideanya dibincang, jawapannya tidak.
“Sekarang digembar-gemburkan rundingan adalah khemah besar, siapa runding? Saifuddin. Saya tegaskan secara saluran parti dalam mesyuarat bulanan atau biro politik mingguan benda itu tak pernah dalam perbincangan kami.
“Berlaku atau tidak saya tak mahu sebut, yang dibincang kukuhkan parti, kukuhkan PH, agenda pengukuhan ada bincang. Maknanya kukuhkan PH dan parti kerana parti yang kukuh bantu kukuhkan PH, itu ya,” tegas ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu lagi.
Rafizi sebelum ini berterus terang menentang idea pembentukan khemah besar pembangkang.
Dalam debat yang juga disiarkan secara langsung atas talian hari ini, Rafizi menegaskan idea khemah besar menyebabkan PH lari daripada fokus utamanya iaitu kepentingan rakyat.
“Kita perlu meyakinkan rakyat kita bukan sahaja ada idea untuk menyelesaikan masalah besar, tetapi juga ada pimpinan cekap dan berkebolehan untuk melaksanakan idea itu sekiranya kita menang.
“Sebab itu secara tegas saya katakan kita perlu mengubah cara kita dan meninggalkan strategi yang telah kita cuba selama dua tahun iaitu khemah besar ini.
“Semuanya membawa matlamat menghalalkan cara demi untuk mendapatkan kuasa…kamu boleh bergaduh pada hari ini dan pada hari esok kamu boleh menjadi kawan,” katanya.
Komponen PH dari Amanah membangkitkan keperluan untuk PH meneroka idea khemah besar pembangkang bagi menghadapi PRU15.
Presiden Amanah Mohamad Sabu pada 18 April berkata pendekatan khemah besar yang dicadangkan sebelum ini hanya melibatkan kerjasama antara pembangkang dan tidak melibatkan parti dalam kerajaan.
Pemilihan PKR akan berlangsung bermula 13 Mei hingga 22 Mei depan. – 11 Mei, 2022.
Komen