SUDAH tiba masanya untuk Malaysia menambat semula ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS), kata Dr Mahathir Mohamad.
Tambatan ringgit diperkenalkan bekas perdana menteri pada 1998 semasa krisis kewangan Asia, dengan ringgit ditetapkan pada RM3.80 bagi setiap dolar AS.
Langkah itu ditarik balik pada 2005 ketika pentadbiran Najib Razak, atas alasan ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran rakyat serta menyebabkan pelabur hilang keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.
“Apabila kita tetapkan nilai ringgit pada RM3.80 satu dolar AS, dan kita jamin bekalan dolar AS kepada sesiapa yang sanggup membayar RM3.80 untuk 1 dolar AS maka nilai ringgit tidak lagi akan turun naik.
“Dan peniaga mata wang pun tidak dapat turunkan nilai ringgit dengan menjual ringgit dengan banyaknya untuk jatuhkan nilainya,” kata Dr Mahathir dalam catatan di Facebook.
Ahli Parlimen itu berkata nilai ringgit yang tidak tetap juga membebankan perniagaan.
“Bagi peniaga yang import bahan dengan dolar AS atau meminjam dolar AS, jatuhnya nilai ringgit berbanding dolar AS meningkatkan kos pengeluaran dan harga pasar produk.”
Mengimbas semula semasa krisis kewangan Asia 1998, Dr Mahathir berkata walaupun Malaysia dikecam hebat kerana menambat ringgit kepada dolar AS, tetapi ia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit.
Langkah itu sekaligus memulihkan kewangan negara, katanya.
“Akhirnya pihak IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia mengakui bahawa tindakan Malaysia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit dan kemiskinan yang berlaku kerananya.” – 11 Mei, 2022.
Komen