Strategi sifar-Covid China tidak mampan, kata WHO


China mengenakan strategi sifar-Covid, mengurung sebahagian besar 25 juta penduduk Shanghai di rumah selama beberapa minggu ketika negara itu memerangi pandemik terburuk sejak ia bermula. – Gambar EPA, 11 Mei, 2022.

STRATEGI sifar-Covid dilakukan China untuk mengalahkan pandemik tidak mampan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa, sambil menambah ia memberitahu Beijing demikian dan meminta peralihan dasar.

China mengenakan langkah keras, mengurung sebahagian besar 25 juta penduduk Shanghai di rumah selama beberapa minggu ketika negara itu memerangi pandemik terburuk sejak ia bermula.

Sekatan kawalan Shanghai menyebabkan kemarahan dan protes yang jarang berlaku dalam ekonomi utama terakhir yang masih menggunakan dasar sifar Covid, sementara pergerakan di ibu kota Beijing disekat secara perlahan.

“Apabila kita bercakap tentang strategi sifar-Covid, kami tidak fikir ia mampan, dengan mengambil kira tingkah laku virus sekarang dan apa yang kami jangkakan pada masa depan,” kata ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar.

“Kami sudah membincangkan isu ini dengan pakar China dan menegaskanpendekatan itu tidak akan mampan.

“Beralih ke strategi lain sangat penting.”

“Kita perlu mengimbangi langkah kawalan berhubung kesan terhadap masyarakat, ekonomi, dan itu tidak selalunya penentukuran yang mudah,” kata pengarah kecemasan WHO Michael Ryan.

Beliau berkata sebarang langkah untuk memerangi pandemik Covid-19 harus menunjukkan “menghormati hak individu dan manusia”.

Menyeru “dasar dinamik, boleh laras dan tangkas”, Ryan berkata tindak balas awal terhadap krisis di banyak negara menunjukkan kekurangan kebolehsuaian “mengakibatkan banyak kemudaratan”.

Maria Van Kerkhove, ketua teknikal WHO mengenai Covid-19, berkata di seluruh dunia, adalah mustahil untuk menghentikan semua penularan virus itu.

“Matlamat kami, di peringkat global, bukan untuk mencari semua kes dan menghentikan semua penularan. Ia benar-benar tidak mungkin pada masa ini,” katanya.

“Tetapi apa yang perlu kita lakukan ialah mengurangkan penularan kerana virus itu beredar pada tahap yang begitu pantas.” – AFP, 11 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen