PERBICARAAN 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib Razak ditangguhkan ke tengah hari selepas Mahkamah Tinggi membenarkan bekas perdana menteri itu menghadiri pengebumian bekas pembantunya.
Najib sedang dibicarakan berhubung penyelewengan lebih RM2 bilion dana 1MDB tidak hadir di mahkamah pagi ini.
Peguamnya, Wan Aizuddin Wan Mohammed memaklumkan kepada hakim Collin Lawrence Seqeurah mengenai permohonan anak guamnya.
Mahkamah diberitahu bahawa bekas setiausaha sulit utama Najib, Ab Aziz Kassim meninggal dunia pagi ini dan akan dikebumikan hari ini.
“Saya ada dua permohonan yang arif, seperti yang dapat dilihat, anak guam saya tiada di mahkamah hari ini. Jadi permohonan pertama adalah memohon izin yang arif agar kehadiran anak guam saya pagi ini diketepikan,” kata Wan Aizuddin.
“Individu ini sebenarnya adalah bekas ketua setiausaha kepada bekas timbalan perdana menteri dan perdana menteri ketika itu, anak guam saya Najib.
“Beliau dimaklumkan mengenai kematian awal pagi tadi dan kerana sifat hubungan, keakraban, kerana bertahun-tahun berkhidmat, anak guam saya memohon izin agar beliau tidak hadir pagi ini untuk menghadiri upacara pengebumian,” katanya.
Ia bermula pada pukul 8.30 pagi dengan solat jenazah pada 9.30 pagi dan pengebumian kira-kira pukul 11.30 pagi.
“Dalam keadaan itu boleh saya memohon agar prosiding itu hari ini bermula kira-kira jam 230 petang selepas makan tengah hari,” tanya Wan Aizuddin.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudian berkata pihak pendakwaan telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan Najib.
Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan perbicaraan disambung semula pada 2.30 petang. – 11 Mei, 2022.
Komen