PM tiba di Washington D.C untuk hadiri Sidang Kemuncak Asean-AS


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tiba di Washington D.C hari ini untuk lawatan kerja empat hari termasuk pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan pemimpin Asean. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2022.

ISMAIL Sabri Yaakob tiba di Washington D.C hari ini untuk lawatan kerja empat hari termasuk pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan pemimpin Asean.

Perdana menteri Malaysia tiba di Pangkalan Udara Andrew pada 8.16 malam (8.16 pagi Rabu di Malaysia).

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Beliau kemudian disambut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sumber Manusia M.Saravanan dan pegawai kanan Malaysia ketika tiba di sebuah hotel di Washington.

Perdana menteri akan menyertai Biden, Naib Presiden AS, Kamala Harris dan pemimpin Asean lain dalam Sidang Kemuncak Khas Asean-Amerika Syarikat yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis ini (Jumaat di Malaysia).

Presiden Biden akan menghoskan majlis makan malam untuk pemimpin Asean di Rumah Putih pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Ia diikuti pertemuan presiden AS dengan pemimpin Asean di Jabatan Negara AS, tempat sidang kemuncak khas pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Sidang kemuncak khas itu menandakan ulang tahun ke-45 hubungan dialog Asean-AS dan sidang kemuncak khas kedua yang dianjurkan oleh presiden AS di negara ini selepas presiden ketika itu Barack Obama mengalu-alukan pemimpin Asean di Sunnylands, California pada Februari 2016.

Ismail Sabri bersama pemimpin Asean juga akan menyertai perbincangan dengan naib presiden Harris di Jabatan Negara pada hari Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Perdana menteri juga akan bertemu Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo dan Wakil Perdagangan AS, Katherine Tai pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Ismail Sabri juga dijadualkan bertemu ketua-ketua industri Amerika serta Majlis Perniagaan dan Dewan Perniagaan AS-Asean pada Khamis.

Beliau juga akan mengambil peluang bertemu diaspora Malaysia semasa majlis Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia pada Rabu (Khamis di Malaysia). – Bernama, 11 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen