POLIS Ecuador pada Selasa berkata 200 banduan yang melarikan diri berikutan rusuhan penjara yang membawa maut telah ditawan semula dalam 24 jam, dengan 20 lagi masih bebas.
Sekurang-kurangnya 44 banduan maut selepas pergaduhan tercetus pada Isnin antara dua pesaing iaitu Los Lobos dan kumpulan R7 di penjara Bellavista di Santo Domingo de los Colorados, kira-kira 80 kilometer (50 batu) dari Quito.
Menurut polis, sepuluh lagi cedera dalam kejadian itu.
Pihak berkuasa pada mulanya berkata 108 banduan melarikan diri.
“Seramai 220 rakyat melarikan diri semalam dan pada masa ini kami telah menangkap semula 200,” kata ketua operasi polis Geovanny Ponce, memberi maklumat terkini pada Selasa.
Beliau berkata kerajaan menawarkan sehingga $3,000 untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan semula baki 20 banduan terbabit.
Tentera turut dikerahkan untuk membantu mencari banduan yang melarikan diri, dan wartawan AFP melihat pasukan keselamatan mengepung kira-kira 80 orang yang dipercayai antara mereka yang ditangkap semula.
Saudara-saudara banduan yang kecewa menunggu berita di luar penjara Bellavista pada hari Selasa.
Ponce berkata 41 daripada banduan yang maut telah dikenal pasti setakat ini, dan dua daripadanya warga Venezuela. – AFP, 11 Mei, 2022.
Komen