Pelancong asing dijangka banjiri Terengganu mulai Jun


Diyana Ibrahim

Pengusaha pusat peranginan di Pulau Redang mula menerima tempahan penginapan pelancong asing dari negara Eropah untuk Jun dan Julai ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mei, 2022.

PULAU peranginan di Terengganu akan rancak menerima kedatangan pelancong asing bermula Jun ini, kata pengusaha pelancongan di negeri itu, mengulas pembukaan sempadan negara sejak 1 April lalu.

Langkah kerajaan melonggarkan lagi syarat perjalanan, termasuk kebenaran masuk ke Malaysia tanpa kuarantin sejak 1 Mei, menarik minat pelancong, kata mereka.

Pengurus Redang Pelangi Resort, Ee Lin Foo berkata pihaknya sudah mula menerima tempahan penginapan pelancong asing dari negara Eropah untuk Jun dan Julai ini.

“Masa mula pengumuman sempadan dibuka, maklum balas daripada pelancong asing sangat perlahan. Tapi sekarang ini, nampak sudah bertambah. Kita terima banyak permintaan bagi Jun dan Julai ini.

“Ada pelancong yang nak duduk sampai sebulan, tambahan pula Julai ini biasanya cuti musim panas mereka.

“Pengumuman kelonggaran SOP seperti tiada pemakaian pelitup muka di tempat awam (yang terbuka) dan MySejahtera tidak diwajibkan menarik minat pelancong,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mulai 1 Mei, pengembara yang lengkap divaksin boleh masuk ke Malaysia tanpa menjalani ujian Covid-19 sebelum dan selepas ketibaan. Pengembara bukan warganegara juga tidak lagi diwajibkan memiliki perlindungan insurans Covid-19.

Kelonggaran itu susulan semakan semula tatacara pencegahan penularan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan ketika Malaysia memasuki fasa peralihan dari pandemik ke endemik.

Menurut Ee, kelonggaran itu memberi keyakinan semula kepada pelancong untuk datang ke Malaysia setelah sebelum ini terikat dengan banyak peraturan.

“Sebelum ini mereka nak datang bercuti tapi rasa was-was, tapi selepas pengumuman kerajaan sahaja terus mereka hubungi tanya perlu buat ujian ke sebab kerajaan pun kata tak perlu.

“Jadi mereka rasa keadaan lebih tenang tidak perlu pening dengan peraturan dan kos tambahan,” katanya.

Pemilik Terrapuri Heritage Village, Alex Lee Yun Ping juga yakin jumlah kemasukan pelancong asing terutama di pulau di sekitar Terengganu akan meningkat mulai bulan depan.

Beliau percaya keadaan itu boleh memulihkan sektor pelancongan tetapi bimbang ia mungkin hanya bertumpu di kawasan pulau.

“Untuk pelancongan di darat saya rasa kita masih dalam situasi sukar untuk pulih.

“Ini kerana tumpuan pelancong hanya di pulau sahaja tapi sambutan di darat agak kurang,” katanya.

Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian Abdul Aziz Che Abdullah menganggarkan pada masa ini kedatangan pelancong asing ke pulau itu hanya sekitar 30 peratus tetapi dijangka bertambah Jun nanti.

“Selepas kerajaan umum sempadan dibuka pada April dalam tempoh sebulan memang kita ada kata yang tempahan dari pelancong asing sangat perlahan kerana mereka tidak pasti kesahihan berita itu.

“Jadi mereka pergi negara lain dahulu sehinggalah dapat kepastian sempadan dibuka, jadi selepas itu ahli-ahli kita menerima banyak tempahan,” katanya.

Abdul Aziz berkata kedatangan pelancong domestik juga sangat menggalakkan dan kebanyakan hotel, resort dan rumah inap desa di Pulau Perhentian penuh sehingga penghujung musim iaitu pada penghujung Oktober ini.

Bagaimanapun kerancakan sambutan pelancong itu sedikit terencat dengan isu kekurangan bekalan infrastruktur asas di pulau tersebut seperti bekalan elektrik, api dan talian telefon.

Kata Abdul Aziz keadaan itu menyukarkan pengusaha pelancongan terutama penduduk kampung yang terpaksa mengeluarkan kos tambahan yang tinggi untuk mengatasi masalah.

“Isu ini yang kita hadapi sejak dari dulu, masalah elektrik, air, dan talian telefon, terutama apabila pelancong dah semakin ramai, jadi kerap kali sangatlah gangguan berlaku.

“Macam tiga hari sebelum ini gangguan elektrik berlaku di kampung ini sebanyak tujuh kali dalam sehari. Kita pun dah banyak kali ajukan masalah ini kepada kerajaan negeri.

“Bagi kita kerajaan negeri patut lebih cakna dan bantulah sektor pelancongan dengan tambah baik infrastruktur, sangat sayang kalau kalau kita tidak boleh berkembang kerana tiada sokongan dari kerajaan negeri,” katanya.– 11 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen