PM Thailand sertai Sidang Kemuncak Khas Asean-AS


Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean-AS di Washington DC dari 12 hingga 13 Mei. – Gambar AFP, 10 Mei, 2022.

PERDANA Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean-Amerika Syarikat (AS) di Washington DC dari 12 hingga 13 Mei.

Menurut kenyataan Kementerian Luar sidang kemuncak khas itu memberi peluang kepada pemimpinAsean dan AS membincangkan hala tuju masa depan Asean-AS, tindak balas dan pemulihan Covid-19, keselamatan kesihatan, perubahan iklim, pembangunan mampan, kerjasama maritim, rantaian bekalan, infrastruktur hijau, pembangunan modal insan dan keselamatan manusia.

“Para pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak sambil menggariskan kepentingan kepaksian Asean dan keperluan untuk menggalakkan persekitaran kondusif untuk keamanan, kestabilan serta kemakmuran di rantau ini,” menurut kementerian itu.

Sidang kemuncak khas itu juga sempena ulang tahun ke-45 Hubungan Dialog Asean-AS.

Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Prayuth dijadual bertemu pemimpin AS dan pegawai peringkat tinggi untuk membincangkan kerjasama mengenai pemulihan pasca pandemik dan pertumbuhan mampan di rantau itu.

Di samping itu Prayuth juga akan bertemu dengan sektor swasta AS.

Thanakorn berkata lawatan Prayuth akan menjadi peluang baik untuk mempromosi Thailand sebagai tuan rumah Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dari 18 hingga 19 November dan konsep ekonomi “bio-circular-green” (BCG).  – Bernama, 10 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen