Rakyat berhak dapat penjelasan penyelesaian tuntutan Apandi Ali


PENYELESAIAN ini menimbulkan seribu satu persoalan kerana wujud dakwaan di pihak Umno, kononnya kemenangan dan kebenaran memihak kepada Apandi Ali. Ini tidak benar sama sekali.

Penyelesaian ini dilakukan tanpa dirujuk terma tersebut kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai salah satu anak guam kepada Jabatan Peguam Negara. Terma penyelesaian ini juga melibatkan satu pemberian wang yang besar jumlahnya kepada Apandi.

Pada peringkat awalnya, nasihat guaman yang diberikan semasa pemberhentian kontrak Apandi dan sebelum penyelesaian kes saman ini, tidak ada satu pun tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.

Rakyat berhak untuk tahu berapa jumlah penyelesaian dan mengapa Kerajaan Malaysia bersetuju untuk membuat bayaran tersebut. Wang itu milik rakyat. Adakah kerana Apandi mempunyai kaitan dengan Umno sebelum ini?

Begitu mudah penyelesaian yang diterima seorang mantan ketua Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa. Penyelesaian ini dilakukan tanpa sebarang pengakuan liabiliti. Apa maksudnya?

Tidak ada pengakuan salah dari pihak yang disaman iaitu kerajaan Malaysia dan Dr Mahathir.

Ini jelas mengelirukan rakyat. Bahkan terma tersebut turut dirahsiakan di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan tidak direkodkan dalam Perintah Penyelesaian Persetujuan itu.

Penyelesaian ini jelas dibuat atas arahan individu tertentu. Adakah wujud campur tangan dari pihak pentadbiran tertinggi di kalangan Umno? Ini memerlukan penjelasan di pihak kerajaan Malaysia dan Peguam Negara Idrus Harun sendiri.

Pemberhentian kontrak Apandi amat berbeza dengan keadaan pemecatan Abdul Gani Patail. Dalam tempoh satu hari, pemecatan itu dilakukan dalam keadaan yang tergesa-gesa. Lebih-lebih lagi ketika beliau sedang meneliti kertas siasatan kes 1MDB yang melibatkan Najib Razak.

Hubungan Apandi dengan Umno tidak berakhir dengan peletakan jawatannya pada 1991. Ini kerana tularnya video dia menari bergembira bersama pemimpin Umno semasa sedang menjawat jawatan peguam negara.

Dia memberi arahan untuk menutup ketiga-tiga kertas siasatan berhubung dua kes siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terkait SRC International dan dana RM2.6 bilion. Isu integriti timbul.

Apandi juga dilantik kembali menjadi ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 14 Julai, 2018 bagi penggal 2018-2021. Adakah ini bukan konflik berkepentingan? Adakah pemberhentian Apandi yang dibuat terdahulu salah?

Bagaimana mungkin peguam negara pada ketika itu akan berlaku adil dalam menasihati kerajaan Malaysia pada masa itu? Ini jelas wujud konflik berkepentingan.

Adakah penyelesaian itu semata-mata dilakukan demi memberi manfaat kepada kroni Umno? Ini bukanlah gambaran yang cantik bagi konsep Keluarga Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ini lebih kepada konsep Keluarga Umno. Rakyat diketepikan, Umno diutamakan.

Peguam negara wajib perjelaskan keadaan kepada rakyat. – 10 Mei, 2022.

* Akif Rusli ialah ketua penerangan Pejuang Muda Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen