Lalat tidak menghurung bunga, ia datang ke tahi


Faisal Tehrani

PADA bulan Mei yang bersejarah tahun 2018, suatu masa dahulu saya pernah membaca sebuah cerita rakyat Korea yang menurut saya boleh dijadikan pedoman untuk kita. 

Sementelah memang ramai Melayu tergila-gilakan Korea atau K-Pop maka kisah lipur lara dari Korea ini mungkin akan dapat membuka mata kita untuk meniti hidup yang penuh pancaroba ini.

Kisah rakyat Korea itu begini.

Pada zaman dahulu, terdapat seorang pencuri yang tertangkap kerana mencuri secebis kain sutera. Pencuri ini dibawa ke istana, untuk menghadap raja. 

Pada zaman dahulu, ketika sistem perundangan belum cukup berkembang dan moden, penjenayah diadili oleh raja, dan pencuri digiring ke istana. 

Tetapi, penjenayah-penjenayah itu dihadapkan kepada raja bukanlah untuk bersantap sama, sebaliknya untuk dihakimi.

Raja menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada pencuri sutera dengan alasan hukuman selama itu akan membuatkan orang lain gerun lantas menjadi pengajaran atau sempadan. 

Si pencuri sangatlah tergamam kerana menurutnya hukuman itu tidak setimpal, dan terlalu lama. Padahal tak berpadan dengan apa yang dicuri. 

Ketika zaman itu, tentulah belum ada Mahkamah Rayuan, atau jamin menjamin untuk melepaskan diri sementara perbicaraan masih berlangsung.

Ketika berada di dalam tahanan, si pencuri menahan amarah kerana hukuman sepuluh tahun penjara itu terlalu lama buatnya. Si pencuri berpendapat raja yang menghukumnya itu tidak adil. 

Di dalam kurungan, si pencuri berfikir-fikir mengakal bagaimana untuk melepaskan dirinya. Dia memutuskan untuk memberitahu kepada pengawal penjara bahawa dia perlu menemui raja.

Pengawal raja hanya mentertawakan permintaan si pencuri. “Sungguh mustahil untuk menemui raja kalau dah pencuri”, demikian bilang pengawal.

Akan tetapi – ini cerita rakyat Korea, ya – si pencuri berjaya menghelah dengan memberitahu bahawa dia perlu memberikan raja sesuatu sebelum mereput di dalam penjara. “Sesuatu” yang akan diberi itu pula sangat bersegera sifatnya.

Setiap hari si pencuri mencari jalan untuk memujuk pengawal penjara agar membuka jalan untuknya menghadap raja.

Akhirnya ketua pengawal penjara itu termakan pujuk dan membuat keputusan untuk mengatur perjumpaan tersebut.

Apabila si pencuri memasuki balairong seri, beliau mendapati seisi kabinet ada bersama. Antara lain ialah Menteri Pertahanan, Menteri Perbendaharaan, Menteri Pendidikan, dan Permaisuri. Si pencuri telah mengangkat sembah dan memberikan sekotak hadiah berbalut kain sutera.

Tatkala raja membuka balutan, raja mendapati di dalam kotak itu terdapat benih buah delima. Raja amat murka dan bertitah, “Nampaknya kamu berbohong kepada beta, ini bukanlah hadiah yang berharga, ini tak ada nilainya. Campakkan si pencuri durjana ini ke dalam kurungan.”

Ketika itulah si pencuri segera berteriak, “Nanti dulu tuanku. Sebatang pohon delima emas akan tumbuh sebaik saja benih ini disemai. 

Dengan syarat yang menanam benih delima itu harus tidak pernah menipu, mengkhianat dan mencuri. Saya yakin tuanku sangat layak dan memiliki semua kriteria itu.”

Sang raja berfikir seketika dan sedar dia pernah berbohong kepada permaisuri lantaran memecahkan pasu kegemarannya. Raja segera bertitah, “Beta tidak boleh menjadi penyemai benih ini.”

Si pencuri cepat-cepat menyarankan agar Menteri Pertahanan yang boleh menanam benih tersebut. “Tentu Menteri Pertahanan mempunyai syarat tersebut, pohon delima emas akan tumbuh.”

Menteri Pertahanan segera mengalih kerana terkenangkan dia pernah menerima rasuah. 

Si pencuri beralih kepada Menteri Perbendaharaan pula, dengan saranan yang sama. Menteri Kewangan ikut membuat alasan, mengenangkan dia pernah mencuri sekupang dua siling emas dari tabungan diraja tanpa sedar sesiapa.

Si pencuri kemudian menawarkan benih delima tersebut kepada semua yang ada di balairong seri. Namun demikian tiada siapa yang sanggup menerima.

Si pencuri akhirnya bersuara, “Wahai Majlis Diraja, kalian semua pernah berbohong, mengkhianat, memperdaya dan mencuri sesuatu – tetapi nampaknya kalian masih bebas – saya hanya mencuri secebis kain sutera untuk membalutkan hadiah demi untuk diberi kepada baginda tuanku. Pun, saya ditangkap dan dipenjarakan. Di manakah keadilan untuk ini?”

Raja berasa amat malu mendengar kata-kata si pencuri dan segera menyedari yang mereka semua adalah sama-sama pencuri.

Dengan itu raja pun bertitah mengampunkan si pencuri kain sutera. Bukan kerana si pencuri tidak bersalah mencuri, tetapi semata-mata kerana baginda sendiri ikut mencuri.

Ketika saya membaca kisah rakyat Korea ini dahulu, saya berfikir mungkin, kecurian tersebut boleh dimaafkan; kerana barang curian itu milik raja sendiri. Dan raja berhak mengampunkan. 

Akan tetapi sebetulnya raja tidak boleh memaafkan para menterinya kerana apa yang mereka lakukan itu bukan curi-curi kecil tetapi adalah ghasab. Dalam hukum syariat, ghasab ini berbeza dengan pencurian biasa. 

Jika pencurian dilakukan secara diam-diam, ghasab bagaimanapun dilakukan secara terang-terangan. Ia semacam rompakan di siang hari. Keduanya sama-sama tanpa diketahui oleh sang pemilik barang.

Akan tetapi ghasab jauh lebih dahsyat kerana ia pencurian atau penyamunan yang berniat jahat. Hukum ghasab memang bukan untuk diampunkan, tetapi untuk dihududkan.

Saya masih ingat membaca kisah rakyat Korea itu. Saya membacanya pada 9 Mei 2018. Kebetulan ia adalah tarikh yang indah dan bermakna untuk rakyat Malaysia. 

Pada hari bersejarah tersebut, ramai yang berani bangkit membuang penyangak dan perampok lantas menghukum mereka yang lalai oleh amanah pemberian rakyat. Minggu yang sama pada tahun 2018 itu, seisi negara meraikan hari membenam penyamunan.

Apabila saya mengenangkan kembali iktibar yang dihantar oleh cerita rakyat Korea di atas, saya sedar bahawa isu yang dihantar untuk panduan bangsa Korea ini bukanlah perihal mencuri sedikit atau mencuri banyak.

Cerita rakyat tersebut menghantar sindiran dan perli keras.

Jika yang datang menemui kita itu sarjana dan orang bijak pandai, itu tanda kita memang gemar ke situ. Jika yang mampir itu penyamun dan lanun, itu tanda kita memang cenderung begitu. 

Ibu saya pernah berkata, lalat tidak akan hinggap pada bunga. Lalat hanya akan singgah pada sampah sarap, dan tahi. – 10 Mei, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen