Harga barang naik lepas raya, kata peniaga, pengilang


Khoo Gek San

Pengarah Urusan Mydin berkata kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan susulan kekurangan bahan mentah dan pelbagai faktor global. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2022.

HARGA makanan, pakaian dan barang keperluan lain dijangka naik 10 hingga 15% selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata peniaga dan pengilang.

Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata kenaikan ini tidak dapat dielakkan susulan kekurangan bahan mentah dan pelbagai faktor global.

“Kami menjangkakan semua akan naik harga selepas Hari Raya.

“Pasaran biasanya kembali normal selepas cuti raya akibat jualan yang perlahan, tetapi tahun ini berbeza kerana banyak industri kekurangan pekerja serta peningkatan kos pengangkutan dan bahan mentah,” kata pemilik rangkaian pasar raya terbesar di Malaysia itu kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA) Tan Thian Poh berkata harga pakaian juga akan naik susulan peruncit dan pengilang terpaksa menaikkan harga akibat tekanan kos operasi.

“Kami naikkan harga bukan untuk dapatkan untung tetapi kami terpaksa menanggung peningkatan kos, harga kapas, poliester, bahan api dan pengangkutan. Semua ini menyebabkan banyak kilang berskala kecil terpaksa tutup kerana tidak mampu bertahan.

“Kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 ke RM1,500 bermakna kenaikan sebanyak 25%. Semua pihak mengabaikan hakikat bahawa kenaikan ini juga bersamaan 36% di Pantai Timur, yang sudah pasti meningkatkan kos perniagaan sebanyak 36%,” Tan memberitahu The Malaysian Insight.

Harga pakaian juga dijangka naik selepas Aidilfitri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2022.

Tambahnya, ringgit yang lemah juga mendorong perniagaan meningkatkan kos operasi sebanyak 30% hingga 40% sepanjang tahun lalu.

“Jadi selepas raya nanti harga pakaian pasti naik, tak boleh elak.”

Menurut Tan, 20 hingga 30% pakaian dan tekstil tempatan dibekalkan oleh pengeluar tempatan, manakala selebihnya diimport. Kilang-kilang tempatan katanya mengalami masalah tenaga kerja ekoran kekuragan pekerja asing.

“Banyak pengilang sukar untuk memenuhi pesanan kerana kapasiti tenaga kerja cuma 50% sahaja,” katanya.

Bagi Jawatankuasa PKS Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), pengerusinya Koong Lin Loong berkata pandemik Covid-19 telah menyebabkan kos pengangkutan naik mendadak.

Diburukkan lagi dengan pelaksanaan perintah berkurung di Shanghai, peniaga katanya menyelaraskan harga komoditi berdasarkan kenaikan kos pengangkutan.

Koong turut meramalkan harga barangan keperluan seperti beras, minyak, garam dan teh serta makanan, pakaian, dan perumahan naik lebih 15%. – 10 Mei, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen