Batal kelayakan Sri Ram: Permohonan rayuan Najib, Shafee didengar 23 Mei


Bekas perdana menteri Najib Razak dan peguam Muhammad Shafee Abdullah memohon kebenaran merayu terhadap penolakan semakan kehakiman untuk membatalkan kelayakan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2022.

PERMOHONAN Najib Razak dan peguam Muhammad Shafee Abdullah untuk kebenaran merayu terhadap penolakan semakan kehakiman mereka untuk membatalkan kelayakan Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes mereka, akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada 23 Mei.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Bahagian Sivil di Jabatan Peguam Negara Shamsul Bolhassan apabila dihubungi Bernama hari ini.

Pengurusan kes bagi kes itu dijalankan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Fadzlin Abd Zawawi hari ini yang dihadiri peguam Sarah Abishegam yang mewakili Najib dan Shafee manakala Peguam Persekutuan Nur Syazwani Abdul Aziz bagi pihak kerajaan Malaysia, pihak pendakwaan dan Sri Ram.

Menurut Shamsul, timbalan pendaftar itu telah membenarkan permohonan Najib dan Shafee untuk melanjutkan masa sehingga 17 Mei bagi memfailkan hujahan bertulis.

Pada 8 November tahun lepas, bekas perdana menteri (Najib) dan Shafee gagal dalam rayuan mereka untuk menggugurkan Sri Ram daripada menjadi timbalan pendakwa raya (TPR) kanan dalam kes mereka.

Pada 28 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib dan Shafee untuk menggugurkan Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai TPR kanan dalam perbicaraan kes mereka.

Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk menggugurkan Sri Ram dalam kesnya sebagai TPR kanan dalam kes berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Disember 2018.

Shafee yang juga peguam Najib, turut mencabar pelantikan Sri Ram dalam perbicaraan kesnya sendiri membabitkan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta. 

Mereka memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan bekas hakim itu sebagai TPR tidak sah.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu dan memohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram. – Bernama, 9 Mei, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen