Rujuk kami sebelum larang operasi 'homestay', kata pengusaha 


Ravin Palanisamy

Pengusaha rumah inap mendakwa kerajaan Pulau Pinang tidak sepatutnya hanya mendengar aduan sebelah pihak sahaja sebelum mengambil keputusan melarang ia beroperasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mei, 2022.

KERAJAAN Pulau Pinang perlu berhubung dengan pihak berkepentingan dalam industri berkaitan sebelum menggubal undang-undang dan peraturan mengenai sewaan jangka pendek atau rumah inap (homestay) di bangunan tinggi, kata Persatuan Pengusaha Rumah Inap Malaysia (MHOA).

Naib presidennya Elvin Wong memberitahu The Malaysian Insight, pihak berkuasa harus berbincang dengan semua pihak berkepentingan yang terlibat bagi mendapatkan pandangan dan pendapat mereka sebelum membuat keputusan.

“Setiap perkara mempunyai pendapat berbeza. Pihak berkuasa perlu memberi peluang dan saluran yang sesuai untuk semua orang, termasuk pemilik perniagaan, hartanah, pelabur hartanah, pemaju, dan lain-lain untuk menyuarakan pandangan dan pendapat mereka.

“Penting bagi kementerian untuk mempertimbangkan perkara ini,” kata Wong.

Isu rumah inap di Pulau Pinang khususnya di bangunan kediaman bertingkat baru-baru ini menjadi topik utama berita selepas kerajaan negeri mengumumkan akan melarang sewaan jangka pendek.

Bulan lalu, ekspo perumahan Pulau Pinang Jagdeep Singh mengumumkan rancangan larangan itu, yang akan menjadi garis panduan untuk dilaksanakan oleh majlis tempatan.

Jagdeep berkata keputusan itu dibuat susulan kekerapan aduan penduduk mengenai penyewa yang mengganggu ketenteraman.

Minggu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata kerajaan negeri masih terbuka kepada pilihan untuk mengawal selia aktiviti itu.

Beliau berkata banyak pihak seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta majlis tempatan perlu dilibatkan.

Yeoh berkata rumah sewa jangka pendek mewujudkan persaingan tidak adil kepada hotel berlesen yang mematuhi peraturan Motac, termasuk membayar cukai dan yuran hotel.

Wong sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight kerajaan hanya mendengar aduan sebelah pihak, iaitu daripada penduduk, dan mendakwa mereka sepatutnya berunding dengan pemilik rumah inap juga.

Beliau juga mencadangkan pihak pengurusan bangunan dan penduduk dibenarkan membuat keputusan dan merangka peraturan mereka sendiri, bukannya campur tangan pihak berkuasa.

Tahun lepas, kerajaan negeri memperkenalkan undang-undang kecil tempatan baharu, yang memerlukan platform perkhidmatan penyewaan jangka pendek seperti AirBnB mendapat kelulusan daripada 75% penduduk di sesebuah bangunan sebelum ia boleh beroperasi.

Pemilik dikenakan denda RM200 sehari jika gagal mematuhinya.

Pertimbang kemampuan kewangan pelancong

Wong berkata pihak berkuasa perlu mempertimbangkan semua aspek sebelum membuat keputusan, termasuk kuasa berbelanja pengembara.

Beliau juga berkata jika penginapan jangka pendek di hartanah kediaman diharamkan di negeri ini, maka ia akan mengakibatkan kenaikan kadar hotel, yang didakwanya boleh menjejaskan pelancong daripada melawat dan berbelanja.

“Setiap pengembara mempunyai bajet. Dengan mengandaikan seluruh Pulau Pinang tidak mempunyai penginapan jangka pendek dan hanya tinggal dengan hotel, maka ini akan menghapuskan penawaran dan permintaan, sekali gus menyebabkan harga hotel meningkat lebih tinggi.

“Jika pengembara menghabiskan sebahagian besar bajet mereka untuk hotel, maka mereka akan berbelanja lebih sedikit di tempat pelancongan lain, mengurangkan perbelanjaan lain juga.

“Aktiviti pelancongan seharusnya memberi manfaat kepada keseluruhan industri, bukan hanya hotel. Jika harga di Pulau Pinang terlalu tinggi, maka pengembara akan memilih untuk melawat tempat lain,” kata Wong.

Menurut MHOA, terdapat sekitar 1,500 unit rumah inap di Pulau Pinang termasuk Butterworth dan Bukit Mertajam.

Wong berkata kerajaan harus melindungi nilai sesuatu hartanah dan mengurangkan lebihan unit.

Beliau berkata jika kerajaan negeri mengenakan larangan terhadap rumah inap jangka pendek, maka beliau meramalkan harga hartanah akan menyusut dalam masa terdekat.

“Rumah inap wujud kerana permintaan tinggi daripada pasaran.

“Jumlah bangunan tinggi di Pulau Pinang adalah lebih berbanding penduduk tempatan. Jika tidak ada yang mengendalikan rumah inap jangka pendek, ia akan menjejaskan kadar penghunian secara langsung dan deflasi harga hartanah akan berlaku dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beberapa pemain industri lain berkata larangan itu akan memberi kesan kepada sektor hartanah dan bangunan tinggi yang sedang dalam pembinaan.

Mereka berkata hartanah itu menarik pembeli dengan membuka peluang melabur dalam sektor rumah inap.

Tahun lepas, dilaporkan Pulau Pinang mempunyai bilangan hartanah tidak terjual kedua tertinggi di negara ini bernilai kira-kira RM3.6 bilion.

Johor menduduki tempat pertama dengan hartanah tidak terjual bernilai RM4.89 bilion, diikuti Kuala Lumpur di tempat ketiga,  yang mempunyai unit tidak terjual bernilai RM3.1 bilion. – 10 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen