Jho Low kenal ramai putera raja Timur Tengah, kata saksi


Alfian Z.M. Tahir

Saksi berkata Jho Low mengatur pertemuan antara Najib Razak dan beberapa putera raja dari Timur Tengah. – Gambar AFP, 9 Mei, 2022.

LOW Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, mempunyai akses terus dengan ramai putera raja di Timur Tengah, kata bekas pembantu khas Najib Razak Wan Ahmad Shihab Ismail kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Ketika memberi keterangan dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Shihab berkata Jho Low mengatur pertemuan antara Najib dan beberapa putera raja dari Timur Tengah.

Shihab, saksi ke-16 pihak pendakwa mengimbas kembali pada Ogos 2009, semasa Najib menjadi perdana menteri, beliau menerima panggilan daripada Jho Low memberitahu perjalanan yang diatur oleh seorang putera raja Kuwait.

“Jemputan itu daripada seorang putera raja Kuwait yang menjemput Najib, isteri dan anak-anaknya (Ashman, Nooryana Najwa dan Riza Aziz), dan rombongannya ke Nice di Perancis.

“Kami bertemu putera raja di atas kapal layarnya bernama RM Elegance,” kata Shihab ketika membaca keterangan saksinya di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Katanya, tidak lama selepas berada di atas RM Elegance, beliau dimaklumkan seorang putera Arab Saudi (Putera Turki) dan Tarek Obaid (pengarah PSI) mahu bertemu Najib dan keluarganya di atas kapal layar lain tidak jauh dari lokasi awal mereka.

“Jho Low memberitahu Putera Turki mahu berjumpa Najib untuk minum teh di atas kapal layarnya dan saya terpaksa mengatur bot kecil untuk sampai ke kapal layar itu.

“Apabila kami menaiki kapal layar, Jho Low sudah pun berada di sana bersama Tarek dan putera raja. Saya bagaimanapun tidak tahu tentang apa pertemuan itu tetapi selepas itu, mereka mengadakan sesi bergambar beramai-ramai dan saya yang mengambil gambar itu,” katanya.

Setahun kemudian, pada 2010, Jho Low sekali lagi menghubungi Shihab untuk memaklumkan kepadanya tentang jemputan lain daripada Putera Turki di atas kapal layarnya, kali ini di Greece.

“Jho Low memberi saya butiran mengenai perjalanan di Greece dan saya menyemak semula dengan Najib dan beliau menyetujuinya. Jadi kami pergi ke Greece bersama 17 orang, termasuk anak-anaknya.

“Apabila tiba kami disambut oleh kapten dan (Tan Sri) Bustari Yusof yang sudah berada di atas kapal layar,” katanya.

Najib sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah berhubung penyelewengan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Beliau berdepan 25 pertuduhan, empat untuk salah guna kuasa dan 21 untuk pengubahan wang haram, bagi kesalahan yang dilakukan antara 2011 hingga 2013.

Shihab berkata pada kesempatan lain pada 2013, Jho Low sekali lagi menghubunginya untuk memaklumkan mengenai jemputan daripada Sheikh Mansour dari Abu Dhabi.

“Sekali lagi Jho Low berkata saya dipilih untuk menemani Najib untuk lawatan ini dan seperti biasa saya menyemak dengan perdana menteri yang memberikan persetujuannya.

“Kami berlepas ke Nice pada 27 Jun 2013 dan setibanya kami disambut di atas kapal di mana kami bertemu Riza Aziz, Jho Low dan Joey McFarlane (pengarah filem) yang sudah berada di atas kapal layar,” kata Shihab.

Ditanya oleh peguambela Shafee Abdullah mengenai kaitan Jho Low dengan kerabat diraja dari Timur Tengah, Shihab berkata ahli perniagaan dalam buruan kelahiran Pulau Pinang itu mempunyai hubungan baik dengan kebanyakan kerabat diraja.

“Beliau mempunyai hubungan dengan hampir setiap keluarga diraja di Timur Tengah,” kata Shihab. – 9 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen