Hentikan buli doktor junior, kata kumpulan pelajar perubatan


Ravin Palanisamy

MMI cadang KKM laksana beberapa perubahan bagi memastikan kesejahteraan mental dan fizikal doktor serta kakitangan perubatan berada dalam keadaan terbaik untuk mereka dapat berkhidmat menjaga pesakit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mei, 2022.

PUTRAJAYA perlu mengambil tindakan segera bagi menangani isu buli membabitkan doktor junior dan menyiasat aduan berkenaan secara adil dan berkesan, kata Malaysian Medics International (MMI).

MMI, satu organisasi antarabangsa pelajar perubatan, menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) terbabit secara langsung dalam menangani isu buli dan layanan tidak adil terhadap doktor pelatih.

MMI merayu KKM menguatkuasakan beberapa perubahan perlu dalam sistem latihan di hospital awam dan menilai semula sistem berkenaan.

Antaranya, MMI mencadangkan KKM melaksanakan perubahan kepada jam bekerja wajib mingguan bagi mengurangkan tekanan kerja serta kesejateraan mental bagi doktor senior dan junior.

“Ramai, termasuk pihak berkuasa dan tokoh politik bercakap tentang ketidakadilan terhadap doktor muda yang digesa bekerja dengan cemerlang, sedangkan mereka tertekan dengan waktu kerja 65 hingga 75 jam seminggu.

“Kami dengan rendah diri merayu supaya KKM melaksanakan tempoh jam kerja mingguan yang lebih efektif untuk doktor junior dan menambah lagi tenaga kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, mereka meminta kerajaan menggalakkan mengekalkan kesihatan mental secara aktif dan kesejahteraan fizikal dalam kalangan doktor dan kakitangan perubatan.

“Kami memohon pandangan kerajaan dalam menggalakkan sokongan profesional secara positif dalam bahagian klinikal di mana keadaan tekanan kerja dan masa yang tinggi.

“Berkenaan laporan tentang doktor diejek kerana mendapatkan sokongan nasihat ketika menghadapi tekanan peribadi, kami merayu KKM menguatkuasakan pemeliharaan kesihatan mental lebih baik dan dasar kesejahteraan di tempat kerja.

“Mereka juga sepatutnya diberikan kemudahan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental yang diperlukan, tanpa sebarang stigma dan prejudis terhadap inisiatif mereka untuk memelihara kesejahteraan mental dan fizikal demi memastikan dapat memberikan yang terbaik kepada pesakit,” katanya. – 9 Mei, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen