Jangan jatuhkan Malaysia, kata Najib


Nabihah Hamid

Perdana Menteri Najib Razak turut mengajak semua belia turut serta mengerah idea menjadikan TN50 satu kenyataan. – Gambar fail The Malaysian Insight,26 Mei, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak memohon pada masyarakat agar tidak sesekali menjatuhkan negara dan terus bersatu-padu memajukan negara.

Bercakap pada majlis pelancaran Kumpulan Masa Depan TN50, Najib berharap masyarakat akan  turut serta mengerahkan idea merealisasikan TN50 dalam masa tiga dekad lagi.

“Kita jangan sekali-kali menjatuhkan Malaysia. Tolong. Ini negara kita, kita lahir di sini dan kita ada rakyat sejati. Kita akan berjuang untuk masa depan negara yang lebih baik.

“Jangan jatuhkan negara anda sendiri kerana kita ada peluang untuk mengukuhkan negara dengan lebih kuat dan Malaysia sudah berjaya dan kita akan lakarkan kejayaan lebih besar, insha-Allah,” katanya di depan ratusan anak muda yang menyertai sesi dialog TN50 di Kuala Lumpur, hari ini.

Najib juga yakin negara mampu menjana ekonomi RM2 trilion dalam tempoh lapan tahun akan datang dan menjadi 20 negara terbaik pada 2050.

“Kita mahu jadi 20 negara teratas. Dalam pada itu, saya mahu anda kenalpasti masa depan kita,” katanya yang bangga sesi dialog TN50 telah didampingi 1.2 juta belia.

Najib sebelum ini mengulas tentang pendapatan Malaysia akan meningkat selepas kejayaan projek mega seperti Pembangunan Iskandar, Transit Aliran Massa (MRT) dan Lebuhraya Pan Borneo.

Justeru, katanya penting bagi mengumpulkan pandangan rakyat terutamanya belia bagi memastikan masa depan negara yang lebih cerah.

“Kita rancang ini semua untuk kamu, anak muda,” katanya lagi.

Dialog TN50 yang diasaskan Najib kini masuk fasa kedua yang berperanan menganalisa dan memperhalusi aspirasi belia mendepani cabaran dan perubahan dunia.

Sejak dilancarkan 19 Januari lalu, lebih 1.2 juta belia terlibat dan lebih 33,000 aspirasi dikumpulkan. – 26 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen