PELANCONGAN di Terengganu semakin merudum kerana masalah kekurangan infrastruktur dan tiada penyelenggaraan di kawasan tarikan pelancong, kata yang bekas timbalan pengerusi badan pelancongan negeri Alex Lee Yun Ping.
Malah, di banyak tempat tarikan pelancongan tiada pengisian menarik yang ditawarkan selain tarikan yang ada tidak dipelbagaikan.
Masalah pelancongan di Terengganu juga bukan baharu muncul sejak pandemik Covid-19 tetapi sudah mula timbul sejak beberapa tahun lalu, kata pemilik Terrapuri Heritage Village itu.
Lee mengingatkan Terengganu pernah tersenarai antara lima destinasi pelancongan terbaik Malaysia tetapi terkeluar dari senarai itu enam tahun lalu biarpun mempunyai tarikan warisan budaya dan seni serta keindahan semula jadi laut dan tasik.
“Ranking kita jatuh, dulu kita tersenarai antara lima yang terbaik. Senarai ini pelbagai bukan sahaja dinilai dari segi jumlah kedatangan pelancong.
“Kedatangan pelancongan memang berkurangan kerana Terengganu tidak bersempadan dengan negeri yang ada bandar besar seperti Selangor atau Perak.
“Penilaian produk kita juga jauh ke belakang biarpun Terengganu mempunyai banyak produk yang bagus tapi kita kalah dari segi infrastruktur dan pemasaran,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lee berpendapat keadaan itu amat mengecewakan kerana Terengganu mempunyai potensi untuk jadi negeri pelancongan yang diiktiraf dunia seperti di Pulau Pinang dan Sabah, serta Pulau Langkawi yang menjadi tarikan di Kedah.
Pelancongan, sektor ekonomi kedua terpenting di Terengganu, terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada 2019, Terengganu menerima 5.9 juta pelancong domestik tetapi hanya 2.7 juta sahaja pada 2020. Tiada data kemasukan pelancong yang diterima The Malaysian Insight bagi tahun 2021.

Awal Januari, exco pelancongan Ariffin Deraman menyasarkan kemasukan tiga juta pelancong ke Terengganu pada tahun ini, iaitu dua juta lebih rendah berbanding tahun lepas, susulan keadaan yang tidak menentu.
Menurut Lee, banyak projek yang dibangunkan kerajaan negeri bagi tujuan pelancongan dilihat sebagai bentuk pembaziran kerana akhirnya rosak kerana tiada penyelenggaraan.
Beliau memberi contoh Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu yang mempamerkan 23 replika masjid dan seni bina Islam yang terkenal di dunia yang mengalami banyak kerosakan kerana tiada penyelenggaraan.
Taman ini dibina dengan kos RM100 juta semasa Barisan Nasional (BN) mentadbir selepas Pilihan Raya Umum 2004.
Lee juga menyebut contoh muzium negeri dan Masjid Kristal, yang terletak di Taman Tamadun Islam, yang pernah ditutup selama beberapa tahun.
“Memang banyak contoh projek memakan beratus juta dan sepatutnya menjadi tarikan namun akhirnya membazir begitu sahaja kerana tiada penyelenggaran.
“Masjid Kristal itu sampai rakyat Terengganu sendiri yang bising dan ia telah diviralkan, kalau tidak sampai sekarang tidak boleh diguna,” katanya.
Tidak seperti tarikan pelancongan di pulau-pulau di sekitar Terengganu seperti batu karangan yang terjaga, tarikan di bandar tidak terjaga selain tidak menawarkan pengisian yang menarik.
“Seperti di jambatan angkat, pengisiannya kosong, pelancong hanya datang sekali untuk bergambar dan mereka tidak akan datang berkali-kali kerana tiada aktiviti yang boleh dilakukan di sana,” katanya.
Lee berpendapat kerajaan negeri perlu berperanan lebih aktif memperbaiki kelemahan yang ada untuk menyelamatkan industri pelancongan di Terengganu.
Katanya, ketika penggiat industri telah berusaha sendiri untuk mempelbagaikan pengisian, usaha itu masih memerlukan sokongan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri kena mula dulu, cari pelabur, buka hotel bertaraf lima bintang di Kuala Terengganu. Di bandar Kuala Terengganu tidak ada hotel lima bintang.
“Kemudian buatlah pameran. Apabila ada pengisian barulah pemain industri secara automatik akan bergiat aktif seperti di Pulau Pinang. Dengan cara itu barulah kita akan ada perkembangan.
“Sebenarnya tidak susah… perlu ada kesungguhan. Kelemahan diperbaiki dan gunalah sepenuhnya apa yang kita ada seperti pulau, kesenian dan kebudayaan,” katanya. – 10 Mei, 2022.
Komen