Salahuddin Ayub cadang kerajaan bantu petani tampung beban harga baja naik


Bekas menteri pertanian Salahuddin Ayub berkata kenaikan kos operasi petani di serata dunia akan memberi kesan menyeluruh kepada kitaran pengeluaran bahan makanan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2022.

KERAJAAN disaran memberi subsidi tunai kepada petani bagi menampung beban kos operasi yang meningkat ekoran kenaikan harga baja yang sedang melanda seluruh dunia, kata bekas menteri pertanian Salahuddin Ayub.

Katanya, kenaikan kos operasi petani di serata dunia akan memberi kesan menyeluruh kepada kitaran pengeluaran bahan makanan termasuk inflasi pertanian.

“Kerajaan boleh memulakan dengan memperuntukkan sejumlah subsidi tunai sebanyak RM100 kepada setiap petani, misalnya bagi setiap satu tan sayur-sayuran yang dihasilkan sebagai usaha membantu mengurangkan kesan kenaikan besar terhadap kos baja yang kini meningkat daripada RM120 kepada sekitar RM200,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak awal tahun ini, pelbagai pihak dalam sektor pertanian termasuk persatuan petani dan peladang menggesa kerajaan memberi perhatian serius kepada kenaikan harga baja dan racun yang secara langsung meningkatkan kos operasi mereka.

Harga baja dilaporkan meningkat sehingga 30 peratus sementara racun dikatakan naik 100 peratus.

Kenaikan kos operasi pertanian juga dipengaruhi pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang merupakan negara pengeluar utama bahan makanan di Eropah serta keadaan cuaca tidak kesan perubahan iklim.

Menurut Salahuddin, apa yang berlaku sekarang harus jadi peluang untuk pihak berkuasa memperbaharui rantaian nilai pertanian demi melindungi dan menjamin kedaulatan makanan negara.

“Justeru, kerajaan perlu menyatakan solusi yang lebih baik bagi menangani tiga permasalahan utama di sini iaitu kenaikan harga baja serta kos operasi, nasib golongan petani dan pengeluar tempatan, dan ketidakstabilan jaminan bekalan makanan untuk masa hadapan,” katanya. – 8 Mei, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen